Hanyan dilantik Ketua Polis Daerah Kemaman

Aidi (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas antara Mohd Haki dan Hanyan (kanan) di IPD Kemaman.
A
A

KEMAMAN - Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Pemangku Superintendan Hanyan Ramlan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kemaman yang baharu berkuat kuasa semalam.

Hanyan, 49, menggantikan Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Seremban di Negeri Sembilan bulan lalu.

Majlis serah terima tugas antara Hanyan dan pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah disaksikan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman semalam.

Hanyan berkata, pengalaman selama 22 tahun beliau dalam bidang jenayah akan dikongsi untuk membantu mengurangkan kejadian jenayah dan penyalahgunaan dadah sebagaimana misi dan visi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

"Buat permulaan saya akan mengasimilasikan diri dengan sosiobudaya masyarakat di negeri ini supaya tiada halangan yang akan merencatkan mutu dan kualiti kerja saya di tempat baharu ini.

"Saya juga akan bina kerjasama erat dengan masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang pastinya boleh membantu dari segi pencegahan jenayah," katanya.

Katanya, kerjasama utuh dengan masyarakat dan NGO itu juga sangat penting memandangkan Kemaman juga dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh saban tahun.

Hanyan yang menyertai pasukan polis pada 1 November 1993 dan dalam tempoh itu beliau pernah menggalas tugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah di empat tempat iaitu Segamat, Alor Star, Sepang dan Melaka.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia