Tambah baik SOP pelayaran feri ketika cuaca buruk

Azman
Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan mengusulkan prosedur operasi standard (SOP) pelayaran feri penumpang ketika cuaca buruk ditambah baik demi keselamatan penumpang.

Exco Pengangkutan, Azman Nasrudin berkata, ia berikutan sebuah feri membawa 217 penumpang beroperasi ketika keadaan cuaca tidak mengizinkan pada Sabtu lepas.

Menurutnya, feri berkenaan memulakan perjalanan kira-kira jam 5.38 petang dari Kuala Kedah ke Langkawi dalam keadaan ombak dan angin kuat sehari selepas kejadian ribut Lekima.

"Kita bersyukur tiada kemalangan jiwa dan penumpang tiba dalam keadaan selamat di jeti kira-kira jam 7.40 petang tetapi ada yang muntah, selain sebaris kerusi patah dan rosak ketika dalam perjalanan itu.

"Namun kita dan Jabatan Laut Malaysia tidak dimaklumkan tentang kejadian sehinggalah menerima makluman daripada orang awam dan insiden itu tular," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan kerosakan dalam feri akibat cuaca ribut pada Sabtu lepas di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara, Ghazali Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Beberapa kerusi patah dan feri rosak ketika dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi akibat cuaca buruk pada Sabtu lepas.
Beberapa kerusi patah dan feri rosak ketika dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi akibat cuaca buruk pada Sabtu lepas.

Azman berkata, Jabatan Laut Malaysia sentiasa memaklumkan keadaan cuaca dan laut, sekali gus memberi nasihat sama ada feri sesuai untuk pelayaran ataupun tidak, namun kuasa untuk belayar terletak di bawah kapten kapal.

Katanya, Jabatan Laut tiada kuasa untuk menyekat ataupun menahan feri penumpang meneruskan perjalanan ketika cuaca buruk.

"Untuk makluman, Jabatan Laut Malaysia hanya memiliki kuasa untuk menahan sesebuah feri penumpang dari meneruskan perjalanan disebabkan keadaan fizikal," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan supaya bidang kuasa Jabatan Laut Malaysia diperluaskan bagi menghalang feri dari belayar ketika cuaca buruk.

"Inisiatif perlu diambil demi mencegah kejadian tidak diingini dengan mengkaji SOP baharu.

"Kita akan membawa perkara berkenaan untuk dibincangkan di peringkat Kementerian Pengangkutan supaya ada SOP membolehkan Jabatan Laut Malaysia ada hak itu," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, beliau akan bertemu dengan pihak konsortium feri terlibat bagi membincangkan beberapa isu termasuklah ketidaksesuaian pelayaran ketika cuaca buruk atas faktor keselamatan.