Sultan Perak rasmi Klinik Kesihatan Simpang

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim melawat ruang pameran selepas merasmikan Klinik Kesihatan Simpang, Taiping. - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim melawat ruang pameran selepas merasmikan Klinik Kesihatan Simpang, Taiping. - Foto Bernama
A
A
A

TAIPING - [DIKEMASKINI] Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Klinik Kesihatan Simpang di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama mengiringi baginda barisan Exco Kerajaan Perak dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Majlis dimulakan dengan alunan ayat suci al-Quran diikuti bacaan doa sebelum baginda berkenan menandatangani plak perasmian klinik berkenaan di atas pentas utama sambil disaksikan rakyat negeri ini yang hadir sama.

Sementara itu, Dzulkefly dalam ucapannya berkata, Klinik Kesihatan Simpang yang terletak berhampiran bandar Taiping mula dibina pada 2012 di atas tanah seluas 60.7 hektar dan beroperasi sepenuhnya pada 27 April 2015 membabitkan kos pembinaan sebanyak RM14.7 juta.

"Sejak ia mula beroperasi, jumlah kehadiran pesakit yang direkodkan pada tahun 2019 semakin meningkat iaitu antara 350 hingga 400 pesakit sehari berbanding 100-110 pesakit sehari pada tahun 2015.

"Objektif utama pembinaan Klinik Kesihatan Simpang adalah untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan komprehensif dan holistik dengan pendekatan 'one stop centre' kepada masyarakat," katanya.

Menurut Dzulkefly, perkhidmatan utama yang disediakan oleh Klinik Kesihatan Simpang adalah klinik pesakit luar, klinik ibu dan anak, perkhidmatan kecemasan dan klinik pergigian bersama perkhidmatan sokongan seperti khidmat farmasi, makmal, radiologi, sains pemakanan dan rehabilitasi.

Artikel Berkaitan:

"Klinik Kesihatan Simpang juga turut melaksanakan konsep doktor keluarga di mana setiap individu dan keluarga mendapat rawatan yang berterusan daripada pegawai perubatan serta ahli pasukan perubatan yang sama.

"Dengan ini, pasukan pegawai perubatan dapat mengenali pesakit serta ahli keluarganya dengan lebih dekat berkaitan isu kesihatan mereka seterusnya dapat membuat diagnosis penyakit yang tepat seterusnya memberikan rawatan yang sewajarnya," katanya.