Batal status PR, hantar Zakir Naik pulang India: Rahim

Rahim Noor - Foto Astro Awani
Rahim Noor - Foto Astro Awani
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan digesa membatalkan status penduduk tetap (PR) terhadap pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dan menghantar beliau pulang ke India, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.

Memetik laporan The Star Online, Rahim menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk berbuat demikian berdasarkan apa yang telah dilakukan Zakir di India dan Malaysia.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengulas bahawa kerajaan akan mempertimbangkan untuk menarik semula status PR jika terbukti beliau (Zakir) melakukan kesalahan jenayah.

"Berdasarkan kenyataan ini, kita sepatutnya menunggu hasil siasatan. Walau bagaimanapun pandangan peribadi saya ialah Zakir menyentuh sensitiviti agama dan perkara-perkara lain yang mengguris perasaan bukan Islam di negara ini. Kita tidak perlu menunggu keputusan siasatan.

"Dengan bukti kukuh mengenai apa yang dikatakan beliau di Kelantan dan apa yang dilakukannya di India saya menggesa kerajaan untuk menarik balik status PR Zakir dan menyerahkan beliau kepada kerajaan India. Biar beliau diadili undang-undang di sana," katanya seperti dilapor portal berkenaan.

Dalam masa sama, Rahim berkata, beliau sedar sesetengah pihak mungkin tidak bersetuju dengan pandangannya tetapi mereka perlu bertanya kepada diri sendiri mengapa hanya Zakir sahaja berdepan dengan tindakan undang-undang berbanding tokoh Islam lain di India.

"Tentu ada sesuatu yang beliau lakukan di negara asalnya yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan kerana itulah beliau disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa India.

"Kami tidak memerlukan orang asing untuk datang ke sini dan menggunakan agama untuk menghasut, menghuru-hara dan mencetuskan masalah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Asri cadang Kula Segaran, Zakir Naik berdialog

Mengulas lanjut, Rahim berkata, beliau tidak melihat sebarang kepentingan politik di pihak pemerintah atau parti pembangkang jika penceramah kontroversi itu dihantar kembali ke India.

"(Kerajaan) harus memberitahu beliau supaya kembali ke India dan menghadapi undang-undang di sana. Zakir perlu bertanggungjawab atas setiap tindakannya dan bersedia untuk menghadapinya seperti kata orang Melayu, 'berani buat, berani tanggung'.

"Malaysia ini tidak harus menjadi ‘pak sanggup’ untuk menerimanya sekiranya kekurangan pakar atau sarjana Islam di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Rahim berkata, sebagai patriot beliau berasa sangat terkilan apabila orang asing yang diberikan PR berani memberi komen yang boleh mencetuskan perbalahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.

"Tindakan beliau menunjukkan bahawa beliau tidak menghormati cara hidup kita. Rakyat Malaysia hidup dengan aman sambil menghormati kepercayaan dan etnik masing-masing," katanya.

Rahim juga mempersoalkan mengapa Zakir diberikan status PR pada tahun 2015 memandangkan beliau dikehendaki oleh kerajaan India dan mempunyai sejarah menyentuh perkara sensitif yang menyinggung penganut agama lain.

"Bagaimana warga asing boleh diberikan PR dalam sekejap mata. Berdasarkan pengetahuan saya, ia mengambil masa bertahun-tahun untuk seorang warga asing diberi status PR walaupun mempunyai sumbangan kepada ekonomi atau sosial.

"Saya juga tertanya-tanya sama ada pemeriksaan latar belakang yang teliti dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum PR diluluskan. Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India berkaitan dengan kegiatannya yang melanggar undang-undang di sana dan mengapa negara kita mudah menerimanya?

"Saya berasa aneh apabila kerajaan sebelum ini meluluskan kemasukannya di Malaysia dan kemudiannya memberinya PR," katanya.