Zakir Naik dipanggil Bukit Aman kali kedua petang ini: Huzir

Dr Zakir Naik
A
A

KUALA LUMPUR - Penceramah bebas Dr Zakir Naik akan dipanggil ke Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangannya bagi kali kedua, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Zakir dipanggil ke Bukit Aman pukul 3 petang untuk menyambung keterangannya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam, katanya ketika dihubungi.

Pada Jumaat lepas (16 Ogos), Zakir memberi keterangan di Bukit Aman buat kali pertama untuk membantu siasatan mengikut kanun yang sama.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan pada 3 Ogos lepas dilaporkan telah membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Deliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap kaum Cina Malaysia dengan berkata mereka perlu terlebih dahulu keluar dari negara ini sebagai respons kepada desakan agar beliau diusir dari negara ini. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia