Nasir, Krishnan bakal cipta nama dalam MBOR

Nasir (kanan) dan Krishnan (kiri) bakal mencipta nama dalam MBOR setelah menamatkan larian pada malam ambang merdeka kelak.
A
A

ALOR SETAR - Dua orang pelari warga emas, Nasir Abas, 64, dan A.Krishnan, 61, bakal menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) melalui Larian Merdeka Muhibbah sejauh 500 Kilometer (km) yang bermula hari ini.

Kedua-dua mereka memulakan larian di Medan Bandar di sini dan akan menamatkannya di Dataran SACC Mall, Shah Alam pada malam ambang merdeka 30 Ogos depan.

Nasir berkata, permohonan telah dibuat kepada MBOR bagi kategori 'Longest Distance Duo Run By Senior Citizens' dan mereka berdua bersemangat untuk menjayakan larian terbabit.

"Ini adalah tahun ketiga berturut-turut saya berlari bersama Krishnan. Bagi kami usia bukan penghalang, yang penting kita menjaga kesihatan badan. Malah sebagai persediaan, sejak dua bulan lalu saya akan melakukan larian setiap hari sejauh 20km untuk mengekalkan stamina," katanya.

Nasir berkata, larian yang mengambil masa 12 hari itu akan melalui Jalan Persekutuan selain diraikan dengan kibaran bendera oleh pelajar di beberapa buah sekolah.

"Kami juga akan berhenti di 12 lokasi untuk berehat sebelum menyambung kembali larian pada keesokannya," katanya.

Sementara itu, Krishnan yang juga pesara tentera berkata, beliau memulakan persediaan fizikal sejak Januari lalu bagi menghadapi larian ini.

Nasir (kiri) dan Krishnan (kanan) memulakan larian sambil diiringi anak-anak muda di Medan Bandar di sini hari ini.
Nasir (kiri) dan Krishnan (kanan) memulakan larian sambil diiringi anak-anak muda di Medan Bandar di sini hari ini.

"Setiap hari saya akan pastikan saya berlari sejauh 15 hingga 20km pada waktu pagi dan petang. Saya sangat bersemangat untuk menamatkan larian ini, walaupun pada larian sebelum ini kaki saya mengalami sedikit kecederaan tetapi saya sudah menjalani rawatan rapi.

"Doktor juga sudah beri pelepasan kepada saya malah ahli keluarga turut memberikan sokongan tidak berbelah bahagi," katanya.

Menurutnya, beliau berharap mereka berdua dapat menamatkan larian terbabit dengan jayanya dan seterusnya mencipta nama dalam MBOR.

Dalam pada itu, Exco Belia dan Sukan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, beliau sangat teruja dengan semangat yang ditunjukkan oleh Nasir dan Krishnan yang secara tidak langsung turut menggambarkan semangat patriotik antara rakyat berbilang kaum di Malaysia.

"Malah mereka juga mengajak anak-anak muda untuk turut serta dalam larian berkenaan walaupun jumlahnya tidak ramai tetapi ia tetap memberi impak yang besar," katanya.

Katanya, kerajaan negeri dan pejabat menteri besar turut menyampaikan sedikit peruntukan bagi memastikan program larian terbabit dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Insya-ALLAH kita juga akan mengadakan sambutan kelak untuk menyambut kepulangan dua pelari ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia