Kerajaan Johor terus perkasa golongan wanita

Cai Tung melancarkan Helpline Biro Bantuan Guaman YPKDT.
Cai Tung melancarkan Helpline Biro Bantuan Guaman YPKDT.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor terus komited memperkasakan golongan wanita khususnya kumpulan sasar seperti ibu tunggal agar dapat berdikari dan menjana pendapatan sendiri.

Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, pelbagai program telah diwujudkan oleh agensi dan jabatan kerajaan di bawah portfolionya.

Menurutnya, golongan tersebut sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan negeri dan inisiatif atau program yang disediakan tidak dilakukan secara bermusim.

"Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat mengenai soal golongan wanita khususnya kumpulan sasar seperti ibu tunggal mahupun mereka yang berpendapatan rendah.

"Kita membantu mereka untuk menjana pendapatan sebab pada saya bantuan bukan sahaja perlu diberikan melalui kewangan tetapi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan dan menjana pendapatan itu adalah lebih penting," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Program Jejak Golongan Sasar Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) dan Roadshow MARI (Mesra, Aktiviti, Riadah & Informatif) 2019 di sini.

Pada majlis tersebut, turut dilancarkan talian Helpline Biro Bantuan Guaman inisiatif YPKDT bagi membantu golongan wanita yang memerlukan khidmat kaunseling.

Talian 1300 807 000 yang menawarkan khidmat secara percuma itu merupakan saluran bagi golongan wanita memerlukan bantuan kaunseling dan informasi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, program Jejak Golongan Sasar dan Roadshow MARI itu merupakan konsep komunikasi antara kerajaan dan masyarakat.

"Secara jelas ia memainkan peranan yang sangat penting dalam menterjemahkan konsep 'memberi dan menerima'. Konsep komunikasi bersemuka masih dilihat sangat penting terutama dalam menjelaskan pelbagai isu semasa.

"Kita kena terima hakikat ada perkara yang tidak boleh diselesaikan hanya melalui pembacaan di media sosial atau laman sesawang, sebaliknya pendekatan 'human touch' itu sangat diperlukan," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Cai Tung pada majlis tersebut.