Majukan kampung dengan teknologi

Rina ketika sesi wawancara dengan Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Rina ketika sesi wawancara dengan Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KAWASAN luar bandar sering dikaitkan dengan imej kemiskinan, daif dan kekurangan infrastruktur asas. Sedangkan, hakikatnya kawasan kampung dan desa memiliki potensi dan keunikan tersendiri yang perlu digilap sebelum benar-benar menjadi permata.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memikul tanggungjawab bukan sahaja membangunkan kawasan luar bandar dari segi infrastruktur bahkan untuk menjana ekonomi dan modal insan bagi memacu pembangunan negara.

Ikuti wawancara Sinar Harian bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini bagi mengetahui perancangan beliau untuk memajukan masyarakat luar bandar.

Bagaimana Datuk Seri mengatasi masalah sikap penduduk luar bandar yang terlalu mengharap bantuan, malah ada yang salah guna bantuan kerajaan?

RINA: Sebab itu setiap kali kita laksanakan sesuatu program, kita juga buat pemantauan. Kalau nak beri bantuan atau barangan, mereka kena ambil kursus dahulu. Kemudian kita pantau sehingga dua tahun. Contohnya, kita beri mesin jahit. Kita akan pantau ada tak peningkatan pendapatan selepas itu. Bukannya tujuan kita beri mesin jahit agar dibiarkan berhabuk atau dijual. Selain itu, kita ada program Mentor Mentee di mana mentor akan memantau usahawan yang dibantu.

Baru-baru ini SPRM ada mengatakan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam amat serius. Apakah komen Datuk Seri?

RINA: Kita tak nak lagi berlaku situasi sebelum ini apabila projek yang patut dibuat tidak dibuat. Atau projek dibuat tetapi kurang memberi manfaat kepada rakyat. Ada juga yang tandatangan atas kertas tanpa lihat sendiri sama ada projek itu disiapkan ikut spesifikasi atau tidak. Kadang-kadang sebab kawasan itu luar bandar, jauh mereka tak kisah untuk tinjau. Sebab itu untuk kawasan jauh kita guna dron apabila sesuatu permohonan dibuat.

Bagaimana Datuk Seri melihat pencapaian Datuk Seri selepas 15 bulan menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar?

Artikel Berkaitan:

RINA: Kementerian ini begitu luas skopnya daripada kanak-kanak di tabika, remaja di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), belia di UniKL (Universiti Kuala Lumpur) sampai kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) merangkumi pelbagai lapisan masyarakat. Jadi, selepas 15 bulan ini banyak yang saya be- lajar sebagai orang baharu dalam masa singkat.

Harapan rakyat begitu menggunung apabila PH menerajui negara. Dalam tempoh ini, antara perkara pertama kita lakukan adalah mengkaji semula projek-projek lama sama ada boleh diteruskan atau ditambah baik. Kedua, dengan keadaan kewangan yang terhad, penyelarasan antara pusat dan negeri telah memendekkan proses pelaksanaan sesuatu projek dan mengurangkan pembaziran.

Selain itu, saya percaya dengan peruntukan diberikan, kementerian mampu menyediakan infrastruktur kepada masyarakat luar bandar. Tetapi yang lebih penting ialah penduduk luar bandar sendiri dapat memacu pembangunan sosioekonomi. Kita boleh sediakan mereka infrastruktur dan juga membantu meningkatkan pendapatan. Sebab itu, untuk dasar pembangunan luar bandar kita gunakan tema ‘Luar Bandar Sejahtera’.

Apakah potensi dan kekurangan kawasan luar bandar?

RINA: Sewaktu turun padang, saya lihat setiap kawasan luar bandar ini mempunyai keunikan tersendiri yang kadangkala tidak disedari penduduk kampung. Keunikan itu pula boleh memberi pendapatan kepada penduduk kampung. Begitu juga dengan produk-produk kampung. Cuma kita kena bantu dari segi pemasaran agar ia boleh dijual ke seluruh negara. Kita ada banyak agensi di bawah kementerian untuk bantu tingkatkan produktiviti.

Tetapi kekurangan yang ada adalah dari segi infrastruktur khususnya capaian internet. Kalau kita mahu orang muda tinggal di kampung, kena ada internet. Dengan internet, pelbagai perkara boleh dilakukan seperti memasarkan produk atas talian, memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan komunikasi antara penduduk.

Bagi infrastruktur lain seperti jalan raya dan air, kementerian telah sasarkan menjelang 2025, sebanyak 99 peratus penduduk akan menikmati kemudahan asas ini. Selain itu, kita juga mahu memberi bimbingan kemahiran agar mereka tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan. Ini kerana di bandar ada masalah miskin bandar. Saya ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, di Kuala Lumpur. Di kawasan saya ada rumah transit gelandangan yang menempatkan 125 orang.

Apabila saya berjumpa mereka, hanya seorang berasal dari Kuala Lumpur. Yang lain semua dari kampung dan datang ke Kuala Lumpur untuk cari pekerjaan. Jadi kalau kita dapat bantu sediakan peluang pekerjaan di luar bandar, mereka tidak perlu berhijrah dengan keadaan hidup di bandar yang susah sehingga mereka terpaksa jadi gelandangan.

Antara miskin kampung dan miskin bandar, mana lebih serius?

RINA: Bagi saya, miskin bandar lebih serius. Mereka yang miskin luar bandar ini walaupun rumahnya daif, tetapi itu rumah sendiri. Di bandar, kebanyakan rumah atau bilik disewa. Tetapi, di kampung, sekurang-kurangnya ada tanah yang boleh digunakan untuk bercucuk tanam. Mungkin orang melihat kampung ini dari luarannya daif. Tetapi di bandar pun ramai yang mempunyai masalah tidak cukup pendapatan.

Apakah cabaran terbesar untuk merealisasikan inisiatif kementerian?

RINA: Cabaran terbesar adalah dari segi modal insan. Kita nak masyarakat di desa mempunyai semangat bahawa mereka juga boleh berjaya. Saya kadangkala kecil hati juga kerana luar bandar sering dikaitkan dengan serba kekurangan, miskin, tiada infrastruktur.

Jadi kita nak buktikan bahawa luar bandar juga boleh meningkatkan ekonomi dan menyumbang kembali kepada hasil negara. Maka kementerian perlu sentiasa proaktif dan kreatif. Sebab itu kita wujudkan kerjasama strategik dengan syarikat swasta untuk membantu masyarakat luar bandar seperti projek Desa Harapan dan Desa Pintar. Ketika ini kita sering bercakap mengenai perkembangan teknologi seperti 5G dan Revolusi Industri 4.0. Kita mahu ia turut dinikmati penduduk luar bandar.

Apakah inisiatif untuk membantu golongan muda di luar bandar?

RINA: Kita akan buat program Sahabat KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) kerana ramai yang berjaya di bandar asalnya dari luar bandar. Jadi kita mahu apabila pulang ke kampung, mereka dapat menyumbang untuk pembangunan. Kita juga ada program mendekati orang muda di luar bandar melalui program TVET di GiatMara.

Selain itu, kita ada libat urus dengan industri bagi membolehkan anak muda memperoleh pekerjaan selepas tamat belajar. Kementerian telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 45,000 graduan institusi pengajian tinggi di bawah KPLB setiap tahun akan mendapat pekerjaan, menjadi usahawan atau sambung belajar dalam tempoh enam bulan selepas graduasi. Sudah tentu kita akan bekerja keras untuk mencapai KPI ini.

Bagaimana reaksi masyarakat luar bandar terhadap inisiatif yang diberikan kerajaan?

RINA: Alhamdulillah, reaksi cukup baik. Sebelum buat apa-apa program, kita buat libat urus dulu dengan orang kampung. Jadi sudah pasti mereka gembira dan sambut baik. Contohnya, dulu tanah mereka terbiar, tetapi sekarang dah boleh tanam serai dan cili yang memberi pendapatan kepada mereka.

Rina ketika sesi wawancara dengan Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Rina ketika sesi wawancara dengan Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Tadi Datuk Seri ada menyentuh mengenai migrasi orang luar bandar ke bandar. Adakah ia semakin meruncing sehingga menyebabkan kampung akan pupus?

RINA: Kita tiada data berkaitan migrasi orang luar bandar ke bandar. Tetapi kita lihat di kampung memang ramai yang tinggal hanya ibu bapa dan warga emas. Kita kena ingat, Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2030. Kita nak orang muda ini tinggal di kampung. Namun, kita tak boleh halang mereka berhijrah ke bandar kerana mereka perlukan pekerjaan. Sebab itu kita perlu sediakan peluang pekerjaan dan kemudahan lain di luar bandar.Di Korea Selatan, walaupun banyak kemajuan di bandar tetapi pembangunan luar bandar sangat teratur dan masih mendapat manfaat.

Jadi, apa harapan Datuk Seri terhadap luar bandar di Malaysia?

RINA: Impian saya kalau boleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini tiada lagi. Maksudnya, semua dasar sudah berjaya dilaksanakan. Sebab itu kita singkatkan tempoh untuk melaksanakan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 kepada 10 tahun supaya masa untuk memajukan luar bandar tidak memakan masa panjang. Apabila kita bercakap tentang teknologi, adakah ia benar-benar diaplikasikan dengan apa yang kita ada?

Di negara maju, kawasan luar bandar berjaya dengan penggunaan teknologi. Kita juga sedang ke arah itu. Misalnya, dulu proses membajak sawah memakan masa lama, sekarang boleh menggunakan dron untuk membaja tanaman.

Tahun depan juga saya akan cuba dapatkan peruntukan yang lebih besar untuk projek-projek kecil sebab ini yang rakyat nampak. Contohnya, jalan berlubang kita betulkan, lampu gelap kita terangkan. Perkara depan mata ini yang perlu diselesaikan dengan segera.

Melalui interaksi Datuk Seri dengan penduduk luar bandar, apa reaksi mereka terhadap kerajaan PH?

RINA: Pada mulanya memang nampak mereka agak ragu-ragu dan takut dengan kerajaan baharu. Mereka khuatir sama ada mereka akan terus diketepikan kerana kebanyakan kerusi yang dimenangi PH adalah di kawasan bandar. Tetapi setelah mendekati mereka dan kongsi apa yang kita laksanakan, mereka dapat terima.

Adakah benar tanggapan bahawa kementerian Datuk Seri hanya membantu Bumiputera?

RINA: Tidak benar kerana ada juga masyarakat bukan Melayu luar bandar yang kita bantu. Cuma kebetulan mengikut statistik, kebanyakan penduduk luar bandar adalah Melayu. Malah, pendapatan isi rumah mengikut kaum juga Melayu paling rendah.

Difahamkan ada 28 daerah termiskin dalam senarai kementerian Datuk Seri. Bagaimana kriteria itu ditetapkan dan apa perancangan kementerian untuk mengeluarkan daerah itu daripada senarai tersebut?

RINA: Data ini kita dapat daripada Jabatan Perangkaan yang dibuat berdasarkan pendapatan. Tahun ini kita fokuskan empat daerah untuk dibangunkan dari segi infrastruktur dan pembangunan sosioekonomi. Sebab apabila disebut miskin, ia berkisar pendapatan. Ini yang kita nak tingkatkan dengan usaha berterusan, termasuklah menggalakkan usahawan di luar bandar mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sebab ramai yang enggan daftar kerana risau tidak dapat Bantuan Sara Hidup. Sedangkan SSM adalah platform asas untuk mengembangkan perniagaan. Jadi saya terpaksa buka minda mereka kerana kita mahu mereka jadi usahawan berjaya.

Sebab itu kita ada program Rural to Global agar mereka dapat pergi lebih jauh. Melalui program ini, produk-produk luar bandar turut dijual di lapangan terbang. Baru-baru ini juga kita ada hantar usahawan luar bandar ke ekspo di Singapura sebab kita nak beri pendedahan kepada mereka. Dari situ, mereka boleh tingkatkan kualiti produk.