Lima kedai terbakar, babit kerugian RM1.2 juta

Api sedang marak memusnahkan lima unit kedai dalam kebakaran di Jalan Sultan Mohamad, Kampung Gong Kapas, di sini, malam tadi.
Api sedang marak memusnahkan lima unit kedai dalam kebakaran di Jalan Sultan Mohamad, Kampung Gong Kapas, di sini, malam tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima unit kedai di Jalan Sultan Mohamad, Kampung Gong Kapas, di sini, musnah dalam kebakaran melibatkan kerugian RM1.2 juta, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu memusnahkan deretan rumah kedai termasuk tiga kedai menjual lampu hiasan dan barangan elektrik dan dua kedai menjual aksesori serta alat ganti kelengkapan motosikal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berikutan kejadian itu.

Katanya, seramai 35 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, BBP Jalan Kota dan BBP Marang bersama empat jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.33 malam.

"Kita mengambil masa kira-kira enam minit untuk tiba di lokasi iaitu jam 10.39 malam dan setibanya di situ, didapati bahagian belakang deretan kedai itu sudah terbakar 70 peratus.

"Kita percaya mungkin kejadian bermula dari bahagian belakang bangunan menyebabkan orang awam tidak menyedarinya dan lambat memaklumkan kepada pihak kami," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohamad Shoki berkata, usaha memadamkan kebakaran berdepan kesukaran kerana struktur bangunan separuh kekal yang terdiri daripada batu bata dan kayu selain kedudukan bangunan yang berdekatan antara satu sama lain.

Selain itu, katanya, susunan barang di dalam kedai yang didapati begitu rapat juga antara masalah yang terpaksa dihadapi pihaknya untuk mengawal api di bahagian dalam bangunan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa sama, kami terpaksa berdepan beberapa risiko letupan semasa kerja-kerja memadamkan api memandangkan terdapat banyak bahan mudah terbakar dan bahan mudah meletup di dalam bangunan itu.

"Bagaimanapun, kecekapan anggota bomba berjaya menghalang api merebak kedai-kedai berdekatan dan pihaknya mengambil masa setengah jam untuk mengawal api sepenuhnya," katanya.

Kata Mohamad Shoki lagi, pihaknya sedang menyiasat punca dan nilai sebenar kerugian dalam kejadian itu.