Antara dua darjat

No Image Caption
A
A
A

DALAM ruang Insan 360 darjah minggu ini, pemikiran bernas, kritis tetapi sinis Allahyarham Tan Sri P Ramlee melalui filem Antara Dua Darjat menjadi titik tumpu perbincangan kita.

Filem melodrama terbitan Studio Jalan Ampas itu sarat dengan mesej berkaitan ketidakseimbangan sosial dan layanan manusia sesama manusia yang bukan sahaja berlaku pada masa lampau tetapi masih berlaku sehingga sekarang.

Dalam filem tersebut, ego dan rasa meninggi diri dalam kalangan golongan feudal dan bangsawan dipaparkan secara terang dan boleh mengundang rasa marah penonton.

Dengan berpaksikan pepatah enggang sama enggang dan pipit sama pipit, adegan dalam filem tersebut masih lagi berlaku dalam kebanyakan organisasi masa kini.

Rasa tinggi diri dan sombong pihak berkedudukan ditonjolkan dalam organisasi melibatkan pelbagai keadaan. Sebagai contoh, kesilapan kecil juruacara majlis tersalah sebut gelaran dan jawatan seseorang berkedudukan tinggi boleh mencetuskan kemarahan orang-orang besar ini.

Selain itu, dalam majlis meraikan pekerja atau rumah terbuka, misalnya, orang besar masih duduk di meja VIP mereka dengan makanan sedia terhidang, manakala golongan marhaen ditempatkan di meja lain dengan hidangan yang mungkin berbeza.

Inilah antara babak dan situasi yang biasa kita lihat dalam organisasi atau institusi masa kini. Mengapakah ia berlaku?

Adakah orang besar ingin menjaga status dan kedudukan tinggi mereka dalam organisasi atau memang sifat semula jadi pengurus atau pemimpin tersebut tidak pandai bergaul dengan pekerja bawahan atau mereka terlupa ‘asal usul’ dan dari mana mereka bermula sebenarnya atau orang bawahan yang berlebih-lebihan, suka mengampu dan mengipas?

Artikel Berkaitan:

Jurang perhubungan yang terlalu lebar antara pengurus dengan pekerja boleh menyebabkan suasana tegang dalam organisasi.

Jarak kuasa

Dalam kajian budaya oleh Geert Hofstede, Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara mempunyai jarak kuasa yang tinggi.

Oleh yang demikian, masyarakat memandang tinggi kepada orang atasan dan menerima perbezaan kedudukan dan agihan kuasa.

Walaupun begitu, seiring dengan arus pemodenan negara, generasi muda masa kini tidak lagi menerima bulat-bulat konsep jarak kuasa tersebut.

Sikap, gelagat dan tutur kata orang atasan yang memandang rendah kepada pekerja tidak lagi diraikan dalam organisasi.

Kata-kata berbentuk arahan tidak wajar daripada pengurus bukan sahaja bakal mencetuskan konflik dalam perhubungan antara dua pihak malah ia akan menjadi kecaman orang kebanyakan.

Pengurus perlu memahami bahawa dalam persekitaran masa kini, komunikasi berbentuk arahan semata-mata gagal membentuk kelakuan pekerja seperti yang dikehendaki. Malah ia boleh disalah tanggap oleh pekerja dan menimbulkan rasa stres dan dendam dalam diri individu.

Selain itu, pengurus juga harus menyedari bahawa berlembut dengan pekerja bawahan dan barisan hadapan tidak menghilangkan bisa dan auranya sebagai pemimpin. Kajian dalam bidang kelakuan organisasi juga mengesahkan bahawa perhubungan yang harmoni antara pengurus dan pekerja tidak akan menjejaskan kualiti kepimpinan yang ditunjukkan, bahkan ia mampu mempercepatkan pencapaian matlamat dalam jangka masa yang ditetapkan.

Bergelar seorang pengurus atau pemimpin tertinggi dalam organisasi bukanlah sesuatu yang mudah, namun jika diberikan amanah dan peluang janganlah dipersiakan.

Bagi menjadi seorang pemimpin dan orang atasan yang disegani semua pihak, pengurus perlu menyesuaikan watak dan pembawaan diri dengan keadaan. Ada ketika ketegasan perlu ditonjolkan, pada saat yang lain berlembutlah pula.

Pada majlis rasmi, ikutlah protokol, tetapi pada situasi yang santai, tidak salah sekali sekala ‘beraku-engkau’ dan bergaul mesra dengan pekerja bawahan. Wujudkanlah perhubungan yang lebih mesra demi kesejahteraan organisasi dan warganya.

Ingatlah bahawa ular menyusur akar, takkan hilang bisanya. Darjat, pangkat dan kedudukan tidak akan luntur biarpun pengurus seorang yang merendah diri.

Pengalaman menelusuri kehidupan telah cukup menunjukkan bahawa sifat suka merendah diri akan lebih memuliakan seseorang di mata masyarakat.

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia