Dua anggota polis peras ugut pemandu lori ditahan

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan konstabel ditahan selepas dipercayai memeras ugut seorang lelaki di Jalan Lorong Hijau 3, Jelutong di sini.

Kedua-dua anggota itu ditahan di Balai Polis Jelutong pada jam 6 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kedua-dua suspek berusia 28 dan 25 tahun itu ditahan selepas mangsa membuat laporan polis petang tadi.

Menurutnya, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu mendakwa, dia ditahan dua anggota polis itu pada jam 10 pagi semalam ketika sedang menunggu rakannya.

"Ketika ditahan, salah seorang daripada anggota polis itu meminta mangsa mengeluarkan pengenalan diri, dompet dan telefon bimbit untuk tujuan pemeriksaan. Ketika memeriksa telefon bimbit mangsa, anggota polis tersebut menyatakan terdapat resit ekor haram di dalam telefon bimbitnya.

"Mangsa diarahkan ke Balai Polis Jelutong untuk siasatan lanjut yang mana, semua barang peribadinya dibawa oleh kedua-dua anggota polis tersebut. Ketika di balai polis, mangsa mendakwa dia dibawa masuk ke sebuah bilik," katanya ketika dihubungi tadi.

Che Zaimani berkata, ketika di dalam bilik berkenaan, salah seorang anggota polis memberitahu mangsa bahawa dia akan didenda RM12,000 sekiranya kesnya dibawa ke mahkamah.

"Mangsa diberi pilihan sama ada mahu menyelesaikan kesnya di mahkamah atau di balai polis sahaja. Sekiranya mahu menyelesaikan di balai polis, dia hanya perlu membayar RM2,000. Bagaimanapun, mangsa memberitahu dia hanya mempunyai RM200 sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa turut diugut akan digari sekiranya tidak mahu menyelesaikan kes itu di balai polis. Anggota polis itu juga meminta mangsa ke bank untuk mengambil wangnya untuk diserahkan kepada mereka. Setelah mengambil wang sebanyak RM400 dan menyerahkan kepada kedua-dua suspek, mangsa dibenarkan pulang," katanya.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan dan Cheras, Selangor itu akan dibawa ke mahkamah untuk perintah reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.