Kerajaan Johor akur titah Tunku Ismail

Tan Chen Choon (kiri) dan Jimmy Puah Wee Tse.
Tan Chen Choon (kiri) dan Jimmy Puah Wee Tse.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menjunjung kasih di atas titah Pemangku Raja, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang memandang serius isu pencemaran dan penyalahgunaan air di Johor.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kerajaan negeri amat berbesar hati di atas keprihatinan Pemangku Raja mengenai perkara itu.

"Langkah pertama adalah memastikan isu pencemaran sungai air dapat diatasi dengan sebaiknya.

"Pada masa yang sama kerajaan akan merangka pelan komprehensif untuk memastikan bekalan air mentah adalah mencukupi untuk pembangunan masa depan negeri," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, kerajaan negeri akan sedaya upaya bekerjasama secara bersepadu dengan semua jabatan dan agensi kerajaan berkaitan untuk meminimumkan pencemaran ke atas sumber bekalan air mentah dan sungai.

Terdahulu, Pemangku Raja berangkat ke taklimat berkaitan sumber air dan pengurusan sungai Johor di Kota Iskandar di sini pagi tadi.

Baginda bertitah menegaskan kerajaan negeri supaya mula mengambil tindakan yang perlu untuk memulihkan air negeri Johor dari segi pencemaran.

Malah kerajaan negeri juga dititahkan supaya menguruskan air dengan lebih baik serta mendidik rakyat mengenai kesedaran terhadap penggunaan air.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir dalam taklimat tersebut Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal selain Wee Tse dan Chen Choon.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Ismail pandang serius isu pencemaran air di Johor