Jumlah penerima Geran Sepadan SSPN masih rendah

Wan Saiful (dua, kiri) bersama Hasnul Zulkarnain (tiga, kiri) bersama penerima Kad Akaun SSPN-i kepada pelajar terpilih.
Wan Saiful (dua, kiri) bersama Hasnul Zulkarnain (tiga, kiri) bersama penerima Kad Akaun SSPN-i kepada pelajar terpilih.
A
A
A

KAMPAR - Jumlah penerima manfaat Geran Sepadan percuma di bawah program Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) yang memperuntukkan RM1 bilion masih terlalu kecil.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata, sejak diperkenalkan 2003 hingga Mac tahun ini, hanya RM2.41 juta telah diberikan kepada 1,670 pendeposit membabitkan 1,803 akaun.

Menurutnya, jumlah itu adalah sedikit berbanding peruntukan disediakan kerajaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah bawah RM4,000 membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak mereka.

"Peruntukan yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2003 pada September 2002 ini adalah jumlah yang besar kerana itu program ini kita teruskan sebagai insentif khusus kepada golongan B40.

"Sehingga sekarang masih terdapat RM997 juta lagi yang belum digunakan, jadi saya harap ibu bapa dapat gunakan peluang ini sebaiknya, lagi cepat tabungan dibuat, lagi banyak faedah boleh diperoleh dan kerajaan akan beri geran sepadan one to one secara percuma mengikut tempoh simpanan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Jelajah SSPN 2019 peringkat negeri Perak yang dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di Arena Rakyat Tualang Sekah, Malim Nawar di sini hari ini.

Geran Sepadan merupakan satu keistimewaan SSPN-i yang mana kerajaan memberikan geran secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak.

Mengulas lanjut Wan Saiful mengakui, masih ramai yang tidak mengetahui perkara itu dan satu daripada faktor adalah disebabkan kurangnya promosi dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain melipatgandakan hebahan dan penyampaian maklumat melalui program Jelajah SSPN, pihaknya turut mencari kaedah lain antaranya kerjasama dengan syarikat swasta dan awam menyenaraikan pekerja mereka yang termasuk dalam kategori B40.

"Sekarang ini pun kita dalam kerangka bertemu dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk memastikan kempen ini boleh mencapai seramai mungkin masyarakat dari pelbagai latar belakang.

"Setakat ini kita belum ada tempoh masa sampai bila, tetapi ia (geran) boleh digunakan sampai habis peruntukan RM1 bilion itu," katanya.

Sehingga Jun 2019, lebih 4.1 juta akaun SSPN dibuka dengan deposit keseluruhan RM4.9 bilion manakala bagi Perak, sebanyak 349,977 akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM241.7 juta.