Bayi lahir tanpa tempurung kepala meninggal dunia

Nur Annissa Zaki yang menghidap otak di luar tempurung kepala meninggal dunia di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan, petang tadi.
Nur Annissa Zaki yang menghidap otak di luar tempurung kepala meninggal dunia di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan, petang tadi.
A
A
A

MELAKA - Bayi perempuan berusia 14 hari, Nur Annissa Zaki yang menghidap holoprosencephaly atau otak di luar tempurung kepala meninggal dunia petang tadi.

Ibunya, Norwati Saad, 35, berkata, Nur Annissa dikejarkan ke Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 8 pagi selepas mendapati dia mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia jam 3.50 petang tadi.

"Malam tadi, Nur Annissa tidak menunjukkan tanda-tanda sakit tetapi pagi tadi saya terkejut mendapati nafasnya semakin laju dan terus bawanya ke hospital.

"Selepas diberi bantuan oksigen dan minum susu melalui tiub, keadaannya masih sama sebelum doktor mengesahkan anak saya meninggal dunia pukul 3.50 petang," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Norwati berkata, meskipun sedih dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu, dia reda dengan ketentuan Ilahi.

"Kami reda dengan ketentuan ALLAH dan ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan keselamatan dan kesihatan anak kami sejak dua minggu lalu.

"Jenazah akan dibawa pulang ke rumah kami di Kampung Kuala Linggi, Alor Gajah sebelum dijangka dikebumikan malam ini selepas solat Isyak," katanya.

Sinar Harian 9 Ogos lalu melaporkan luahan seorang ibu yang melahirkan seorang bayi perempuan tiada tempurung kepala, selain turut mengalami lelangit sumbing serta memiliki enam jari pada tangan kanan.

Artikel Berkaitan:

Norwati berkata, ketika usia kandungan tujuh bulan, doktor menasihatinya untuk menggugurkan kandungan selepas laporan imbasan ultrasound mendapati terdapat kecacatan di bahagian kepala anaknya selain memaklumkan jangka hayat anaknya itu tidak lama.

Bagaimanapun Norwati dan suami, Zaki Rosly, 40, mengambil keputusan untuk meneruskan kandungan dan berserah kepada ALLAH SWT.

ARTIKEL BERKAITAN: Annissa dilahir tanpa tempurung kepala