Longgokan sisa mencurigakan ditemui

Othman (kiri) dan Shahfudin (tengah) bersama seorang lagi penduduk meninjau lokasi pembuangan sisa mencurigakan di kampung mereka.
Othman (kiri) dan Shahfudin (tengah) bersama seorang lagi penduduk meninjau lokasi pembuangan sisa mencurigakan di kampung mereka.
A
A
A

PASIR GUDANG - [VIDEO] Satu longgokan sisa mencurigakan dengan label pelbagai kilang ditemui di Kampung Perigi Acheh, semalam.

Setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) Pray For Pasir Gudang, Muhammad Shahfudin Sudin yang menemui longgokan tersebut bersama beberapa ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di situ kira-kira jam 10 pagi semalam terus membuat laporan polis.

"Kami sempat belek bungkusan sisa yang dibuang itu dan jumpa empat nama syarikat yang berlainan termasuk syarikat kimia.

"Kami juga jumpa kesan tayar lori di kawasan tersebut. Kawasan kami jumpa ini juga jalan tikus ke Sungai Daing jadi kami terus buat laporan ke Balai Polis Taman Pasir Putih," katanya pada sidang media di Kampung Perigi Acheh, hari ini.

Pelbagai jenis sisa ditemui di jalan masuk ke Kampug Perigi Acheh.
Pelbagai jenis sisa ditemui di jalan masuk ke Kampug Perigi Acheh.

Sementara Ketua Kampung Kampung Perigi Acheh, Othman Adon berkata, pihaknya telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam hari ini.

"Kalau lihat sisa di situ macam-macam jenis yang dibuang, ada serbuk yang nampak macam simen, ada juga cecair putih dalam bungkusan plastik," katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi dimaksudkan, terdapat selonggok besar sisa dalam bungkusan yang berselerakan.

Artikel Berkaitan:

Jarak lokasi penemuan dengan Sungai Daing yang dicemari hanya kira-kira satu kilometer dan di seberang laluan air dipercayai dari kilang itu ditemukan longgokan mozek.

Menurut Othman longgokan itu mula dikesan bulan lalu dan laporan kepada pihak berkuasa telah pun dibuat.