PM pertahan kajian pakar, sisa Lynas tidak berbahaya

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas merasmikan Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa ke-62 hari ini. - Foto: BERNAMA
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas merasmikan Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa ke-62 hari ini. - Foto: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kajian pakar bahawa sisa kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, Kuantan tidak berbahaya.

Menurut beliau, kerajaan akan mengikut kajian pakar dalam isu berkenaan berbanding pandangan pihak lain yang membantah.

"Pakar cakap ia tidak berbahaya tetapi ada pihak tetap mahu mengatakannya berbahaya. Jadi amat sukar untuk kerajaan buat keputusan kerana pandangan popular dan pandangan pakar berbeza.

"Adakah kita ikut pandangan popular atau pandangan pakar? Jika kita ikut pandangan popular maka tiada apa kita boleh lakukan kerana setiap kali kita nak buat sesuatu, akan ada yang bantah.

"Maka kita tidak boleh selalu ikut pandangan popular," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pembukaan Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa ke-62 (ISI WSC) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai bantahan Kumpulan anti-Lynas, Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) di Kuantan hari ini.

Kira-kira 500 peserta berhimpun bagi membantah tindakan kerajaan membenarkan lesen operasi Lynas diperbaharui selama enam bulan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan yakin mampu menguruskan sisa Lynas mengikut cara yang sesuai.

"Kita ada pilihan untuk dibuat sama ada kita mahu tutup industri ini dan hilang kredibiliti dari segi pelaburan langsung asing. Atau kita teruskan dan menguruskan apa yang dikira sebagai masalah.

“Kita boleh uruskan masalah itu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan anti Lynas koyak manifesto PH