'TNB kebanggaan negara selama 70 tahun'

TNB boleh dianggap sebagai pihak yang sentiasa ada bagi membantu dalam usaha memajukan diri untuk mencapai potensi dalam segenap usaha yang dilakukan.
TNB boleh dianggap sebagai pihak yang sentiasa ada bagi membantu dalam usaha memajukan diri untuk mencapai potensi dalam segenap usaha yang dilakukan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ramai yang tidak benar-benar menghargai peranan penting Tenaga Nasional Bhd (TNB) sehinggalah terdapat kegagalan elektrik yang tidak dijangka.

Keadaan itu semasa lampu padam, pendingin hawa tidak berfungsi, peti sejuk menjadi panas dan internet tidak menghubungkan anda dengan dunia luar.

TNB boleh dianggap sebagai pihak yang sentiasa ada bagi membantu dalam usaha memajukan diri untuk mencapai potensi dalam segenap usaha yang dilakukan.

TNB telah beroperasi sebelum Malaya mendapat kemerdekaan pada 1957 dengan menerangi bandar-bandar dan kampung-kampung. Bermula dari 1949 sebagai Lembaga Letrik Pusat (CEB), ia telah berkembang selama ini sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) dan kini, TNB ke arah menjanakan Semenanjung Malaysia.

Ia telah menerangi kehidupan dan Malaysia telah mencatat kemajuan daripada hanya ekonomi pertanian kepada negara yang begitu pelbagai hari ini.

Tidak dapat dipertikaikan bahawa TNB telah menjadi kebanggaan negara selama 70 tahun.

Bagaimanapun, ramai dilihat mengambil mudah peranan cemerlangnya dalam membantu memodenkan Malaysia pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Selain menerangi komuniti, TNB juga penting dalam perindustrian negara, membantu dalam perdagangan, dan malah membuka nilai dalam masyarakat. Dan mengapa tidak?

Tony Goh, misalnya, penganalisis pelaburan dan pengulas mengenai industri tenaga di Malaysia antara benefisiari itu.

Beliau mengimbas kembali pengkorporatan LLN pada masa itu dan akhirnya lahir TNB pada 1990-an yang mengubah landskap tenaga negara antara perkara terbaik yang berlaku dalam antara tempoh paling penting dalam hidupnya.

"Ia merupakan tempoh saya bergantung kepada bekalan tenaga yang boleh dipercayai untuk melepasi pengajian di kolej dan menikmati beberapa keistimewaan daripada ekonomi yang pesat berkembang yang turut disumbangkan oleh syarikat pembekal tenaga yang mantap,” katanya.

Berkongsi pengalaman peribadi, Goh berkata, kecekapan dan bekalan tenaga yang mencukupi yang kita semua nikmati pada hari ini kadangkalanya kurang dihargai.

Membesar di pinggir bandar Petaling Jaya pada pertengahan lewat 1980-an, beliau masih boleh ingat dengan jelas hari-hari yang kadangkala keluarganya akan bangun pada tengah malam dan berpeluh dalam kegelapan kerana bekalan elektrik terputus.

"Menghubungi kakitangan LLN di tengah malam semasa gangguan elektrik pada masa itu bukan perkara yang baik untuk dilakukan.

"Bayangkan keadaan dari segi gangguan bekalan elektrik atau ketersediaan kepada mereka di luar bandar dan bandar-bandar kecil di seluruh Malaysia," katanya.

Pada masa itu, biasanya, seseorang boleh bercakap dengan kakitangan yang mungkin bunyi kasar yang mungkin telah mengendalikan sebanyak 200 panggilan atau lebih daripada pengguna tanpa henti.

Bagaimanapun, keadaan telah berubah.

Kakitangan yang mengendalikan panggilan sedemikian kini lebih bijak dan mereka memberikan anda butiran mengenai jenis masalah dan apa yang dilakukan oleh kakitangan teknikal untuk mendapatkan elektrik semula.

No Image Caption

Walaupun keadaan bertambah baik, TNB tidak leka dan merancang untuk meningkatkan prestasinya kepada lebih 9 juta pelanggan dengan lebih 660,000km rangkaian pengedarannya.

Di bawah pelan transformasi Reimagining TNB, banyak yang dilakukan untuk menangani cabaran pada masa depan. Nampaknya, TNB telah melakukan perancangan senario dengan baik.

Sebagai permulaan, TNB menyasarkan untuk menempatkan penjanaan tenaga domestik dan perniagaan runcit elektriknya di bawah bidang kuasa anak syarikat milik penuh yang baru diperbadankan untuk bersedia kepada pembaharuan yang belum selesai dalam pasaran elektrik negara.

Ia telah membuat ‘kerja rumahnya’ untuk bersedia kepada sebarang kemungkinan kerajaan membuka sektor runcit elektrik negara untuk membenarkan pembekal tenaga baharu.

Cadangan penyusunan semula dalaman dijangka menempatkan TNB pada kedudukan yang lebih baik untuk bersaing menjelang perubahan pasaran yang dijangka dengan mewujudkan kelebihan penggerak pertama.

Langkah berani TNB sejajar dengan apa yang dilakukan oleh bekas penjawat awam utama dalam Kementerian Kewangan dan Pengangkutan, Tan Sri Ramon Navaratnam, yang menyokong utiliti tenaga itu: bergerak lebih kepada meritokrasi.

TNB, katanya, perlu lebih inklusif untuk masyarakat berbilang kaum negara bagi meraih manfaat kemakmuran bersama sebagaimana yang diperjuangkan oleh kerajaan sekarang.

Bagaimanapun, Navaratnam turut tertanya-tanya sebab kerajaan mencadangkan idea merombak sistem yang cekap dengan membuka pasaran memandangkan TNB telah memberikan perkhidmatan dengan baik kepada negara.

Mungkin kerajaan semasa mahu lebih banyak daripada TNB, katanya.

Bagi pemaju hartanah, Ahmad Khalif Mustapha Kamal dari MK Land, katanya TNB kini dalam kedudukan yang menarik dalam mengimbangi agenda nasional dan kebimbangannya sendiri.

"Melalui langkah pemusatan penjanaan tenaga, ia perlu mentakrifkan semula peranan semasa dan juga masa depannya. Di kawasan bandar, ia kurang dihargai tetapi sumbangan sebenarnya daripada menerangi kawasan luar bandar. Kita mengambil mudah air dan elektrik, hanya semasa gangguan kita ambil perhatian. Saya berharap TNB terus memberikan perkhidmatan kepada Malaysia untuk tempoh 70 tahun akan datang dan lebih,” katanya.

No Image Caption

Bagi tujuan itu, TNB telah bersedia untuk masa depan, terutamanya dengan hasrat kerajaan untuk meliberalisasikan sektor bekalan elektrik. Ia kini menyediakan asas untuk peraturan baharu di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) dalam Tempoh Pengawalseliaan Ketiga kerajaan dari 2021 hingga 2023.

Dengan menyediakan lebih awal, TNB juga beralih menjadi antara rangkaian tenaga paling boleh dipercayai di rantau ini dan piawaiannya setanding dengan banyak negara maju yang lain.

Contohnya, Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) naik kepada 48.22 minit setiap pelanggan setahun pada 2018 daripada 50.24 minit pada 2017 manakala kehilangan tenaga bagi setiap pelanggan pada 0.35 minit di bawah paras dua minit sejak 10 tahun lepas.

Sementara itu, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie, yang menyelaras pembangunan TNB selaku menteri bertanggungjawab bagi sektor tenaga dan kerja raya pada akhir 1970-an hingga 2004 berkata TNB telah menjangka pembaharuan itu seawal 2016 dan pelan strategik di bawah Reimagining TNB itu memaparkan aspek kesiapsiagaan.

"Asas-asas kukuh yang telah diletakkan pada hari ini telah mengubah proses dan struktur dalaman kita untuk menjadikan TNB lebih maju dari segi teknikal dan pengoptimuman kos berbanding sebelum ini,” katanya.

Menurut Moggie, TNB juga sentiasa bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan seperti yang pernah dilalui sebelum ini termasuk pada 1990-an yang menyaksikan kehadiran Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Beliau yang menerajui TNB sejak 2004 berkata, sebahagian besar jurutera yang bersaing dalam IPP itu pernah bertugas di TNB yang memaparkan peranan penting syarikat gergasi itu dari segi menawarkan modal insan bernilai terhadap sektor kejuruteraan negara yang berkembang pesat.

Malah, antara kebanggaan Moggie adalah entiti TNB iaitu Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang juga antara universiti swasta utama di Malaysia yang turut berperanan menghasilkan barisan siswazah bidang kejuruteraan, sains komputer dan teknologi maklumat, kewangan dan pengurusan tenaga untuk sektor perniagaan utama Malaysia.

Sebagai anak jati kawasan pedalaman di Kanowit, Sarawak beliau lebih menyedari peri pentingnya pendidikan dan penjanaan tenaga di luar bandar bagi kemajuan dan peningkatan pergerakan rakyat khususnya mereka di pedalaman.

"Atas alasan inilah kita memperuntukkan dana setiap tahun dalam bentuk biasiswa, termasuk program khas bagi kalangan B40 dan pinjaman untuk anak muda Malaysia agar mereka memiliki masa depan lebih cerah," katanya.

Bagi TNB, penting untuk memiliki modal insan berkemahiran tinggi dan berkaliber untuk mampu mengharungi masa dan persaingan.

TNB juga, kata Moggie, sentiasa menghargai sumbangan kakitangan di pelbagai peringkat dan selain menyediakan persekitaran kerja serba kondusif agar dapat menyumbang kepada kejayaan secara berterusan.

Sambil menegaskan pemilikan sumber modal insan yang baik sebagai teras TNB bagi mengharungi cabaran sejak dulu bagi menjamin kelangsungannya, beliau berkata ini sekali lagi dapat dilihat pada 2018 apabila TNB melaporkan perolehan sebanyak RM50.39 bilion dan keuntungan bersih RM3.72 bilion.

Sudah pasti, pencapaian sedemikian amat bermakna bagi sebuah syarikat yang pada asalnya sebuah jabatan kerajaan dan kemudiannya berkembang sebagai gergasi korporat yang kini mahu terus mengorak kejayaan demi kejayaan.

Memetik kata-kata bekas Pengurus Besar LLN, Tan Sri Jalaluddin Zainuddin, sejarah bekalan elektrik di Malaysia adalah amat menarik.

Ia merupakan yang pertama dan paling utama turut berkisar mengenai kisah kemajuan teknikal membabitkan pengenalan teknologi baharu dalam perjuangan negara mendapatkan pengetahuan dan kecekapan bidang baharu serta menarik, evolusi kemampuan dan keyakinan.

Dalam buku bertajuk "People Behind the Lights” terbitan LLN, Jalaluddin berkata, kisah LLN/TNB juga adalah kisah pembangunan masyarakat, bagaimana ia bergelut dengan teknologi dan peranan tenaga yang menyumbang kepada pembentukan sebuah masyarakat moden di negara ini.

Di awal perniagaan bekalan elektrik yang jauh lebih awal daripada penubuhan Lembaga Letrik Pusat (LLP) pada 1949, ia dikendalikan sepenuhnya oleh kalangan ekspatriat dengan sebahagian besar jurutera kanannya berasal dari Britain.

LLP kemudiannya diubah kepada LLN pada 1965 dan menjelang 1967, proses ‘meMalaysiakan’ kuasa utiliti yang bermula 10 tahun lebih awal, telah pun selesai. Ini menyaksikan barisan anak-anak Malaysia menguasai operasi penting, sekali gus membuktikan bahawa persepsi awal yang mempertikaikan kebolehanan mereka adalah tidak berasas sama sekali.

Berkongsi kisah kejayaan itu, bekas Penolong Pengurus (Operasi) LLN, Daniel Jesuthasan yang turut menulis dalam buku sama pada 1980-an berkata, kita boleh berbangga dengan kejayaan ini.

"Apabila saya diperkenalkan kepada perniagaan elektrik, LLP pada masa itu memasang set 10MW ketika pihak lain sudah pun membuat pemasangan turbin wap 500MW sedangkan pada masa itu tiada sebarang turbin gas dalam industri bekalan elektrik (di Malaysia).

"Namun kini, kita mempunyai unit 300MW dalam perkhidmatan ini dengan kapasiti bahan api sehingga tiga kali ganda dan gabungan blok kitaran turbin gas berkapasiti 300MW dan 100MW. Kita merupakan dalam kalangan pemimpin dunia. Biarlah dunia bergerak kerana kita sudah pun menjadi sebahagian daripadanya.”

Kini, selepas 30 tahun, TNB telah mencatat kemajuan sehingga ke tahap pengendalian janakuasa serba maju seperti Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di Lumut, Perak yang berkapasiti 4,100MW dan projek solar berskala besar di Sepang, Selangor.

Selepas mahir dengan teknologi dan mengenal pasti kaedah terbaikna dari segi perniagaan dan pengguna kediaman, TNB kini menyasarkan untuk muncul antara 10 syarikat utiliti utama global menerusi modal pasaran menjelang 2025.

Bagi mencapainya, TNB telah bertumpu ke luar Malaysia kerana tidak mahu sekadar menjadi ‘juara kampung.’

Buktinya, TNB telah melebarkan sayapnya ke United Kingdom, Turki, Pakistan, India dan Arab Saudi sambil terus memperkukuh pasaran domestik.

Pada masa depan, pendapatan TNB akan lebih global dan tidak hanya bergantung kepada kuasa hidro atau bahan api fosil.

Ini termasuk lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui dan berada di barisan hadapan teknologi jika mendapat lebih banyak bahagian pasaran dalam perniagaan bekalan tenaga global serta perniagaan lain berkaitan dengan struktur terasnya, kata Moggie.

Mengulas perkara itu, Goh turut menyentuh potensi sempadan baharu yang boleh ditumpukan TNB terutamanya memanfaatkan jaringan hubungan rangkaiannya bagi melonjakkan aliran pendapatan tambahan.

Baginya, TNB sudah pun memiliki sokongan padu barisan kekuatannya sendiri berikutan peranan rangkaian pelbagai benda atau Internet of Things yang akan menjadi penentu masa depan dalam masa terdekat ini.

"Bagi saya, apa yang baharu dan menarik ialah TNB tidak lagi terikat dengan keperluan membekalkan tenaga secara cekap atau memastikan bil TNB saya kekal berpatutan. Saya sebaliknya lebih teruja untuk melihat TNB sebagai pengubah detik berharga dalam kehidupan saya.

"Sejauh masa pencapaian saya dalam dunia profesional ini akan berkait rapat dengan internet dan pengubah utama itu membabitkan kesalinghubungan internet yang boleh diyakini dan setanding dengan terbaik yang ditawarkan dunia,” katanya.

Apa yang pasti, TNB yang bermula secara sederhana di Bangsar pada 1949 kini berada dalam kedudukan untuk terus mengorak langkah lebih jauh.

Ibu pejabatnya di Bangsar yang menyaksikan pemasangan komputer pertama di negara ini pada 1966, kini sedang melalui pelbagai transformasi besar-besaran, sekali gus membuktikan keyakinan syarikat itu terhadap masa depannya.

Barisan tenaga pekerja lelaki dan wanita TNB baik di pusat kawalan serta setiap kemudahan di serata negara ini juga menyedari sepenuhnya bahawa mereka perlu turut berubah demi memastikan kelangsungan dan relevan TNB.

Hanya dengan menerima pelaksanaan teknologi terkini, keperluan perniagaan dan tumpuan berpaksikan pelanggan akan membolehkan mereka membayangkan bentuk transformasi yang bakal dilalui demi memperkasakan TNB dengan lebih banyak ‘tenaga’ dan kejayaan di peringkat global. - Bernama