Hormati pendirian PH soal kedudukan PM: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak termasuk pimpinan politik diminta untuk menghormati persetujuan Pakatan Harapan (PH) mengenai kedudukan Perdana Menteri ketika ini dan akan datang.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu memberikan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan beliau sebagai Perdana Menteri selepas ini.

"Nasihat kami adalah untuk menghormati persetujuan itu dan menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan saya sebagai Perdana Menteri seterusnya.

"Ada cubaan daripada kedua-dua arah untuk melakukan sabotaj tetapi bagi saya, Dr Mahathir dan pemimpin PH, tiada apa yang berubah," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim Rabu lalu yang mencadangkan Dr Mahathir supaya meletak jawatan, kerana dakwanya Perdana Menteri seperti hilang punca dan hilang daya dalam menyelesaikan beberapa isu kritikal negara.

Hassan dilaporkan berkata, beliau antara ahli Parlimen yang turut menandatangani surat sokongan kepada Dr Mahathir untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PH berjaya membentuk kerajaan dan menegaskan sumbangan negarawan berusia 94 tahun itu akan tetap dikenang dan dihormati.

Kenyataan Hassan itu turut mengundang kritikan pemimpin PH termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menempelak kenyataan itu, hari ini.

Beliau berkata sebagai seorang Ahli Parlimen PKR, Hassan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbaur desakan terhadap Dr Mahathir, sebaliknya menumpukan kepada agenda pembangunan di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan: