Anak percaya kehilangan ayah ada unsur mistik

Shaharin (kiri) dan Mohd Nor sedang melaungkan azan di kawasan mangsa dipercayai hilang.Gambar kecil:Mat Zain Taib.
A
A

BALING - Anak kepada warga emas yang gagal dikesan sejak 8 Ogos lalu tidak menolak kes kehilangan ayahnya kemungkinan ada unsur mistik.

Shaharin Mat Zain, 56, berkata, lokasi tepat kehilangan ayahnya, Mat Zain Taib, 83, itu sukar diagak memandangkan kasut sarung getah yang selalu dipakai warga emas itu tidak digunakan.

Menurutnya, ayahnya tidak akan pergi ke mana-mana tanpa memakai kasut itu melainkan jika keluar di kawasan sekitar rumah.

"Sebelum ini saya ada mimpi bertemu orang bunian kira-kira setahun lalu. Mungkin, kehilangan ayah ada kaitan dengan mimpi ini.

"Dalam mimpi itu, saya lihat sekumpulan budak-budak bermain di kawasan semak samun di belakang rumah ayah. Bila saya tanya datang dari mana? Budak-budak tu jawab kampung mereka di situ. Budak-budak tu kata ketua kampung tersebut adalah seorang perempuan. Tapi itu hanya mimpi sajalah," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Shaharin berkata, ayahnya berkemungkinan melakukan perkara tidak disukai 'penduduk kampung sebelah' menyebabkan dia disembunyikan.

Katanya, selain berusaha mencari di merata tempat, ramai pengamal perubatan tradisional turut menawarkan bantuan mencari ayahnya.

"Ramai tok bomoh termasuk yang datang dari Perak hari ini beritahu ayah hilang di kawasan belakang rumah dan dia akan ditemui dalam beberapa hari lagi.

"Kebanyakan bomoh kata belakang rumah ayah ada perkampungan bunian. Mungkin hanya kebetulan cerita bomoh dengan mimpi saya," katanya.

Sementara itu, usaha mencari mangsa diteruskan melalui laungan azan oleh bekas Imam 2 Masjid Ittifaqiah Al Yaacobiah Kampung Charok Puteh, Mohd Nor Manas petang tadi.

Mohd Nor berkata, setiap perkara yang berlaku dalam pengetahuan ALLAH dan sebagai manusia kita perlu berusaha dan bertawakal kepada-NYA.

"Saya bukan tok bomoh, tapi cuma tolong bantu keluarga ini.

"Apa saja yang berlaku kita kena mohon bantuan ALLAH selain berusaha sedaya mampu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas hilang


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia