Belasah anak jiran akibat salah faham

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Akibat salah faham seorang lelaki membelasah anak jirannya sehingga cedera di Seberang Takir, Kuala Nerus semalam.

Sebelum kejadian, kira-kira jam 2.30 petang lelaki berusia 31 tahun itu memanggil mangsa dan mempersoalkan sikap kurang ajar mangsa dengan anak lelakinya sebelum ini.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 16 tahun itu tidak mengaku dan menafikan tuduhan tersebut.

"Tanpa menghiraukan penjelasan yang diberikan remaja itu, lelaki itu terus tampar pipi dan tumbuk muka mangsa beberapa kali sebelum menghantukkan kepala mangsa ke dinding rumah.

"Mangsa yang menahan kesakitan sempat memberitahu lelaki itu yang tuduhan dilemparkan adalah perbuatan anaknya sendiri dan bukan daripada dia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, lelaki itu kemudiannya meminta pengesahan daripada anaknya yang turut berada di situ.

"Anaknya mengaku mangsa tidak bersalah dan sebenarnya dia yang mengeluarkan kata-kata kesat sebelum ditampar kerana menipu.

"Lelaki itu seterusnya memohon maaf kepada mangsa dan meminta agar berdamai tetapi remaja itu enggan menerimanya kerana telah mengalami kecederaan serta lebam di seluruh badan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata sumber, mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan jirannya membuat laporan polis.

Dalam masa sama lelaki itu turut membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima kedua-dua laporan kejadian di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.