Polis selamatkan budak 4 tahun sesat di stesen minyak

Kejadian kanak-kanak lelaki yang ditemui bersendirian di stesen minyak di Demit tular di aplikasi WhatsApp.
Kejadian kanak-kanak lelaki yang ditemui bersendirian di stesen minyak di Demit tular di aplikasi WhatsApp.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang ditemui bersendirian di sebuah stesen minyak di Demit di sini hari ini selamat diserahkan kepada keluarganya.

Kanak-kanak tersebut diserahkan kepada waris yang hadir ke Balai Polis Kubang Kerian di sini kira-kira jam 11 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum itu kanak-kanak terbabit ditemui oleh seorang anggota polis yang dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas di Istana Kubang Kerian dan berhenti untuk mengisi minyak kenderaannya di stesen tersebut pada jam 8 pagi.

“Anggota tersebut kemudian membawa kanak-kanak berkenaan ke Balai Polis Kubang Kerian dan polis giat mengesan warisnya berikutan dia tidak dapat memberikan butiran jelas tentang diri serta keluarganya.

“Selepas kira-kira dua jam dijumpai akhirnya ahli keluarganya datang ke balai menuntut dan selamat diserahkan kepada keluarga yang tinggal di Taman Seri Demit, Kubang Kerian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, keterangan daripada keluarga memberitahu kanak-kanak tersebut dijaga oleh nenek di rumah yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi dia ditemui.

“Dia dipercayai keluar berjalan kaki bersendirian sehingga sampai ke stesen minyak tersebut dan mujur dijumpai oleh anggota polis kemudian membawanya ke balai dalam keadaan selamat.

“Saya juga ingin ingatkan ibu bapa dan masyarakat supaya peka dengan pergerakan anak kecil bagi mengelak kejadian sama berulang sekali gus mendedahkan bahaya kepada anak-anak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kejadian kanak-kanak lelaki ditemui bersendirian di stesen minyak tersebut turut tular di media sosial dan aplikasi WhataApp.