Bapa dikelar anak sendiri

Gambar hiasan. Gambar kecil:Othman Nanyan
A
A

KUANTAN- Seorang warga emas cedera di leher selepas dikelar anak lelakinya di Kampung Chendor Baru di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun yang lumpuh separuh badan mengalami luka dileher sepanjang 13 sentimeter sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, mangsa yang masih menerima rawatan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa tinggal bersama dua anak lelaki berusia dalam lingkungan 30-an manakala isterinya berada di tempat kerja di Kemaman.

Kejadian disedari salah seorang anaknya selepas suspek keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa.

"Sejurus menerima maklumat berhubung kejadian, pihak polis ke lokasi kejadian dan berjaya menahan saspek yang bersembunyi di kawasan belukar berhampiran lokasi kejadian.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati penganggur berusia 33 tahun itu positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah", katanya hari ini.

Othman berkata, punca kejadian masih belum dikenal pasti manakala senjata yang digunakan suspek juga belum ditemui.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia