Lagi veteran tentera lapor polis, gesa tindakan tegas kepada Yew Yin

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Merlimau membuat laporan polis menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin kerana mengeluarkan kenyataan menghina anggota tentera.
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Merlimau membuat laporan polis menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin kerana mengeluarkan kenyataan menghina anggota tentera.
A
A
A

MELAKA - Tindakan tegas harus dikenakan terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin kerana mengeluarkan kenyataan menghina anggota tentera.

Gesaan itu dibuat oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Merlimau, yang menganggap tindakan ahli perniagaan itu keterlaluan kerana sanggup memperlehkan peranan anggota ATM.

Timbalan Naib Yang Dipertua PVATM Cawangan Merlimau, Pegawai Waran II (B) Pasbul Samat berkata, walaupun Yew Yin telah memohon maaf dan menarik semula kenyataan yang dibuatnya namun ia tidak memadai kerana kenyataan itu dilihat berniat jahat dan cuba menjatuhkan maruah ATM.

"Kami membantah keras kenyataan ahli perniagaan itu yang seolah-olah turut menghina Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi ATM.

"Justeru selain memohon maaf secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong dan seluruh warga ATM, pihak berwajib juga perlu menyiasat serta mengambil tindakan terhadap individu berkenaan sebagai pengajaran supaya perkara sama tidak berulang pada masa depan," katanya.

Pasbul ditemui ketika bersama kira-kira 50 anggota veteran ATM membuat laporan polis berhubung penghinaan ke atas pasukan keselamatan negara itu di Balai Polis Merlimau, di sini hari ini.

Turut serta, Naib Presiden I Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Malaysia merangkap Yang Dipertua PVTLDM Negeri Melaka, Pegawai Waran I (B) Abu Bakar Jamal.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, kenyataan dikeluarkan Yew Yin itu cukup menggores perasaan golongan veteran ATM serta anggota ATM di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Selain dia (Yew Yin) patut dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang diperkatakan, saya juga berharap tiada lagi pihak lain yang cuba menghina sumbangan anggota tentera sekolah-olah kami ini tidak berjasa kepada negara,” katanya yang berkhidmat lebih 21 tahun sebagai anggota tentera hingga 1984.

Pada 12 Ogos lalu, Yew Yin dalam laman blog kendaliannya meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan.

Beliau menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Bagaimanapun, pada Rabu lalu selepas mendapat kecaman ramai ahli perniagaan itu akhirnya menarik balik kenyataannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menimbulkan rasa kurang senang kebanyakan pihak.

Dalam satu kenyataan di laman blognya juga, Yew Yin menyatakan, beliau juga meminta maaf kepada anggota tentera yang sudah bersara dan sedang berkhidmat.

ARTIKEL BERKAITAN Veteran tentera tolak permohonan maaf Yew Yin