Suami mengamuk isteri balik rumah mentua direman

Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Terengganu hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman kerana melakukan ugutan jenayah.
Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Terengganu hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman kerana melakukan ugutan jenayah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara tidak membenarkan isteri pulang ke rumah mentua, seorang lelaki sanggup mengugut mahu mencederakan wanita itu dengan parang di Kampung Sungai Rengas, di sini semalam.

Bukan itu sahaja, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, suspek berusia 31 tahun itu turut bertindak kejam memotong rambut suri rumah itu dengan parang tersebut.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa, 25, berada di rumah keluarga suspek sebelum pasangan itu bertengkar kerana lelaki itu tidak membenarkan mangsa pulang ke rumah keluarganya meskipun tinggal sekampung.

"Mangsa yang tidak berpuas hati dengan larangan itu cuba mengajak suaminya berbincang secara baik namun ia bertukar menjadi pergaduhan. Suspek tetap berkeras dengan arahan diberikan meskipun dirayu berkali-kali sebelum naik angin lalu mengambil parang di dapur.

"Suspek terus menghampiri mangsa sebelum menarik rambut wanita itu dengan kasar lalu bertindak memotongnya dengan parang tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, suspek seperti dirasuk apabila pergi ke rumah mentuanya yang berada tidak jauh dari situ sebelum mengamuk dan bertindak mengacukan parang kepada ibu mertuanya.

"Tidak cukup dengan itu, suspek terus menoreh tayar motosikal abang iparnya yang kebetulan ada di hadapan rumah dengan senjata terbabit sebelum melarikan diri," katanya.

Kata sumber, mangsa yang risau keselamatan diri dan keluarganya nekad membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek yang ditangkap kira-kira jam 12.15 pagi tadi, direman tiga hari untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.