Perak tak halang ceramah Zakir Naik

Asmuni
Asmuni
A
A
A

SERI ISKANDAR - Kerajaan Perak tidak menghalang mana-mana penceramah bebas termasuk Dr Zakir Naik mengadakan aktiviti di negeri ini.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Usahawan, Asmuni Awi berkata, sebarang aktiviti termasuk ceramah yang ingin diadakan perlu mengemukakan permohonan dan mengikut prosedur tertentu sebelum diberikan kebenaran.

Menurutnya, permohonan tersebut penting untuk diteliti bagi memastikan sebarang aktiviti yang akan dibuat tidak mengganggu keharmonian masyarakat di negeri ini.

"Sekarang ini tiada sebarang permohonan untuk bawa dia ke Perak jadi tak timbul soal benarkan tak benarkan itu. Saya akan jawab bila ada (permohonan).

"Kita akan tengok siapa yang mohon dan apa tujuannya. Kita tak halang kebebasan bersuara kerana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi perlu jaga keharmonian dalam negara," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan Kedah dan Perlis yang menyekat Zakir daripada mengadakan ceramah di negeri itu.

Asmuni berkata, sebarang kelulusan untuk berceramah di negeri ini juga bergantung lokasi sama di tempat awam atau masjid kerana melibatkan syarat ketat.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ceramah Dr Zakir batal atas faktor keselamatan


Kedah negeri kedua larang ceramah Zakir Naik

Artikel Berkaitan: