Amanah kekal pendirian sokong Anwar PM kelapan

Salahuddin ketika menyampaikan ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit di sini hari ini.
Salahuddin ketika menyampaikan ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit di sini hari ini.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Amanah kekal dengan pendirian menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub berkata, keputusan itu sudah termaktub dalam perjanjian awal Pakatan Harapan (PH) yang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh dan Anwar sebagai pengganti selepas itu.

Menurutnya, penjelasan itu dibuat selepas ada pihak terutama di peringkat pimpinan yang mahu Amanah mengemukakan pendirian tentang perkara itu.

"Kita menerima Tun Dr Mahathir ketika itu sebagai pengerusi PH maka dalam perbahasan itu kita bersama-sama secara konsensus telah menulis perjanjian itu bahawa PM ketujuh ialah Tun Dr Mahathir dan PM kelapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tak timbul masalah nak fikir kembali atau kita nak membuat cadangan baru. Perjanjian itu masih kekal dan Amanah akan pastikan kita masih berpegang lagi kepada perjanjian," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi dan Naib Pengerusi PKR Perak merangkap Ketua PKR Cabang Parit, Mohamad Anuar Zakaria.

Salahuddin berkata, beberapa pimpinan tertinggi Amanah terlibat dalam penubuhan PH dan mereka mengetahui tentang perjanjian itu.

Dalam pada itu, Salahuddin bagaimanapun menjelaskan tempoh peralihan jawatan perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar tidak dibincangkan dalam perjanjian itu.

Artikel Berkaitan:

"Tempoh itu memang kita tidak bincangkan secara spesifik, itu jelas. Tetapi menamakan PM kelapan itu jelas termaktub dalam perjanjian yang disaksikan oleh pimpinan tertinggi dalam Bersatu, Amanah, PKR dan DAP," katanya.