Penganugerahan darjah, pingat Pahang lebih tegas

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Syarat had usia bagi calon penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran 'Datuk' dan ke atas antara pembaharuan dalam tatacara penganugerahan pingat dan darjah kebesaran negeri Pahang yang berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

Melalui syarat had usia itu, tiada individu di bawah 40 tahun boleh dicalonkan bagi menerima darjah kebesaran itu kecuali pencalonan oleh Raja Pemerintah.

Kerajaan negeri melalui kenyataan Pengisytiharan Gelaran, Pangkat Kemuliaan, Pangkat Kebesaran Dan Kurniaan Negeri Pahang 2019 hari ini menyebut, pencalonan individu untuk penganugerahan itu hanya boleh dibuat Raja Pemerintah, Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar, Ketua Menteri atau Setiausaha Kerajaan Negeri atau pemimpin masyarakat atau industri yang diiktiraf.

Menurut kenyataan itu, penubuhan Jawatankuasa Penilaian dan Jawatankuasa Penyiasatan antara elemen-elemen baru yang diperkenalkan dalam pengisytiharan tersebut.

Melalui pembaharuan itu, setiap pencalonan akan melalui Jawatankuasa Penilaian yang terdiri daripada Menteri Besar selaku pengerusi dan barisan pentadbiran Pahang termasuk Setiausaha Kerajaan negeri, Penasihat Undang-undang, Pegawai Kewangan dan Setiausaha Jumaah Pangkuan Diraja.

Jawatankuasa itu juga turut dianggotai Ketua Polis Pahang, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Pengarah Tanah dan Galian negeri dan mana-mana individu yang dilantik Pengerusi dengan persetujuan Raja Pemerintah.

Selain itu, sebarang salah laku, ketidakjujuran dan kekurangan integriti melibatkan mana-mana penerima gelaran, pangkat kemuliaan, pangkat kebesaran dan kurniaan perlu disiasat serta-merta oleh Jawatankuasa Penilaian.

Ia termasuk salah laku yang dilaporkan bawah pengetahuan Raja Pemerintah, Menteri Besar, Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Ahli Jawatankuasa Penilaian atau Kerajaan Negeri serta yang dilaporkan di media, walaupun tiada laporan rasmi dibuat ke Jawatankuasa Penilaian.

Artikel Berkaitan:

Bagi menyiasat salah laku dilaporkan, Jawatankuasa Penilaian akan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada tiga orang daripada Ahli Jawatankuasa Penilaian untuk menjalankan siasatan.

Menurut kenyataan itu, keputusan Raja Pemerintah adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah atau tribunal.

Pada masa sama, tiada tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding boleh dimulakan kepada pihak yang terlibat dalam Jawatankuasa Penilaian dan Jawatankuasa Siasatan.

Pengisytiharan tersebut bagi memperkemaskan tatacara penganugerahan pingat darjah kebesaran Negeri Pahang bagi menjamin elemen tadbir urus yang tinggi serta berintegriti.