UiTM popularkan lagu rakyat

A
A
A

MASIH ingatkah lagu-lagu Melayu di zaman kanak-kanak tatkala ibu mendodoikan anak? Atau ketika anak-anak zaman dahulu bermain bersama dengan rakan sekampung diselang seli dengan lagu-lagu secara spontan. Cukup klasik dan menyeronokkan.

Adakah anak-anak sekarang tahu atau hafal lagu-lagu rakyat Melayu? Zaman terus berubah.

Anak anak masa kini dihidangkan dengan lagu moden dan 'keinggerisan' dan melayan internet sebagai permainan.

Tiada lagi main galah panjang, atau main 'sorok-sorok', atau main 'ting-ting'. Lagu seperti Ala Changung, Anak Ayam, Anak Itik Tok Ti, Anak Ondeng, Bapa ku Pulang Dari Kota, Jong-Jong Inai, Trek Tek Tek dan Wau Bulan adalah antara lagu rakyat yang cukup popular dan dekat dengan hati masyarakat Melayu dan Bumiputera.

Bagi yang lahir pada era 50 hingga 70 an, lagu-lagu rakyat ini sering didendangkan oleh ibu dan masyarakat sebagai hiburan penglipur lara di desa atau waktu keraian.

Mungkin masih ada lagi masa kini ibu mendodoikan anak-anak mereka dengan lagu-lagu rakyat.

Namun kita jarang dengar anak-anak sendiri yang mendendangkan lagu berkenaan ketika bermain dan sebagainya.

Usaha murni yang dilakukan oleh Fakulti Muzik Universiti Tekologi MARA mengimbau kembali alam kanak-kanak melalui Konsert Ala Changong di bawah kelolaan Profesor Dr Ramona Mohd Tahir sewajarnya dipuji.

Artikel Berkaitan:

Namun persembahan pendidikan muzik kali ini diberi sentuhan baharu melalui Gilbert De Greeve dan Hajarul Bajunid (piano) Khairunnisa Diyana Md Noor dan Faezah Hamdan (soprano) serta Phang Kong Chien (tenor).

Konsert ini bertujuan untuk menghidupkan kembali khazanah muzik tradisional agar tidak dilupakan atau pupus di telan zaman. Sebanyak 15 lagu pilihan dikompilasikan dalam bentuk cakera padat dan multi-media lainnya.

Kebanyakan lirik lagu-lagu ini mempunyai makna yang tersirat berbentuk nasihat, pedoman berlatarkan artifak dan motif Melayu tradisional.

Nostalgia

Sebenarnya masyarakat Melayu terkenal dengan kepelbagaian seni irama dan lagu yang amat menggamit nostalgia.

Lagu rakyat biasanya akan dinyanyikan semasa bermain, mendodoikan anak, hiburan setelah penat membanting tulang dan juga semasa majlis-majlis keraian.

Lagu-lagu rakyat juga dilihat amat suka didendangkan secara berkumpulan oleh anak-anak dara sunti dan kanak-kanak Melayu.

Ini kerana perkembangan lagu-lagu rakyat masyarakat Melayu itu yang telah tersebar luas merentasi samudera dan pelbagai negara yang dipenuhi pelbagai ras dan rumpun serta adat budaya.

Maka wujud versi dan olahan berbeza tetapi lagu dan iramanya masih kekal.

Penulis yang mengikuti konsert berkenaan mendapati lagu-lagu rakyat tidak seharusnya dilihat dalam konteks yang sempit.

Dengan maksud, hanya sesebuah negara asal di mana sesuatu lagu rakyat itu mula tercipta sahaja berhak menjadi pemilik lagu tersebut.

Pertentangan 'hak milik' dan keaslian lagu ini sering berlaku di antara Malaysia dan Indonesia.

Suatu ketika dahulu wujud kontroversi mengenai lagu Rasa Sayang dalam bahasa Melayu dan Rasa Sayange dalam Bahasa Indonesia. Rasa Sayang ialah sebuah lagu rakyat dalam bahasa Melayu yang popular di Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Rasa Sayang agak mirip dengan Dondang Sayang dan banyak lagi lagu Melayu lain yang digubah dalam bentuk pantun, salah satu bentuk puisi tradisional Melayu. Wujud pula pendapat, lagu ini berasal dari Ambon, Maluku, Indonesia.

Kerajaan Indonesia mendakwa lagu itu telah dirakam dalam piring hitam milik Lokanata pada tahun 1958.

Bagaimanapun dakwaan itu diragukan kerana bahasa Melayu dan tradisi berbalas pantun bukan berasal dari Maluku, tetapi dari lingkungan budaya Melayu itu sendiri.

Walau apa pun, perkara ini perlu dilihat pada sudut pandang yang positif.

Lagu-lagu rakyat masyarakat Melayu harus dikembangkan penggunaannya dan diperkaya maksud tersirat dan keindahan bahasa kiasannya yang tinggi.

Ini agar dunia dapat mengetahui bahawa lagu-lagu rakyat ini mampu menyatu padukan suatu rumpun yang besar di Alam Melayu.

Lagu rakyat masyarakat Melayu adalah lagu-lagu atau nyanyian yang berasal dari sesuatu kawasan dalam Alam Melayu tidak kira kawasan itu terletak di negara Indonesia, Malaysia, Singapura atau Brunei.

Malah di mana-mana pelosok pulau terpencil di Nusantara sekalipun lagu-lagu rakyat amat popular di kawasan tersebut. Lagu lagu rakyat masih lagi boleh didengari di Thailand, Vietnam, Kemboja, Taiwan dan di Afrika Selatan terutamanya dalam kawasan minoriti Melayu di dunia.