2018 menyaksikan GPS perintah Sarawak

A
A

KUCHING - Seperti di kebanyakan negeri, 2018 berupakan ‘tempoh peralihan’ di Sarawak selepas Pilihan Raya ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan juga menyaksikan parti komponen BN negeri yang memerintah keluar parti untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan berjanji untuk melaksanakan dasar yang berpaksikan rakyat Sarawak.

Pendaftaran GPS yang terdiri daripada empat parti politik Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 19 November.

Walaupun dianggap sebagai mesra Pakatan Harapan (PH), namun GPS yang memerintah kerajaan negeri sering bertelagah dengan pihak persekutuan dari segi dasar pembangunan dan mahu kuasa autonomi sepenuhnya dalam penyampaian dan pelaksanaan projek serta dasar.

Disebabkan perbezaan ideologi politik, terdapat konflik kepentingan, umpama 'cinta dan benci' antara kerajaan negeri dan persekutuan, terutamanya dengan tuntutan berterusan Sarawak agar hak dan kedudukan khasnya, dipulihkan seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hasrat itu diutarakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengulangi keperluan untuk mempertahankan hak Sarawak dalam menentukan nasibnya semasa ucapan penggulungan beliau bagi portfolionya pada 14 November.

"Apa yang kami musykil adalah hubungan yang kami rasa telah menyimpang dari semangat asal persetujuan untuk membentuk Malaysia seperti yang terkandung dalam MA63.

"Kami menginginkan dialog yang sebenar bagi menyelesaikan ketidakpuasan kami," kata Abang Johari, yang juga pengerusi GPS, dengan jelas mengatakan kepentingan Sarawak dipertaruhkan.

Jelas sekali kemasukan parti politik Semenanjung, termasuk pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Bintulu pada 1 Disember oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, telah menggegarkan GPS, dengan Presiden PRS, Tan Sri Dr James Masing dilaporkan sebagai berkata bahawa ia adalah "matlamat politik untuk mengawal gas dan minyak Sarawak sepenuhnya".

Setakat ini kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Perundingan 14 anggota, dengan wakil dari GPS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat, bagi menyediakan platform bagi membolehkan hujah Sarawak tentang MA63 disampaikan oleh Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan untuk mengkaji dan menyelaraskan perkara itu.

Walaupun GPS mungkin dituduh oleh pihak lawan politiknya sebagai memainkan sentimen kedaerahan, tidak dapat dinafikan bahawa penurunan kuasa sedemikian serta royalti petroleum adalah dekat di hati kebanyakan rakyat Sarawak.

Tanpa terlalu bergantung pada kerajaan persekutuan, Sarawak juga telah memutuskan untuk mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum, iaitu minyak mentah; gas asli; baja dan gas berasaskan kimia kepada produk cecair, dari 1 Januari tahun depan sebagai sumber pendapatan dan pembiayaan alternatif.

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada kerajaan negeri pada 22 Jun membuka jalan bagi menguatkuasakan undang-undang negeri dalam mengawal selia aktiviti huluan di bawah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 (OMO) dari 1 Julai.

Syarikat minyak dan gas kebangsaan, Petronas tidak dibenarkan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Sarawak dan dikehendaki mematuhi OMO dan mesti mempunyai lesen atau pajakan yang diperlukan pada 1 Julai.

Menyentuh sentimen rakyat, Abang Johari menambah bahawa Sarawak menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ekonomi negara dan tabungan kerajaan persekutuan justeru kerajaan persekutuan harus bersikap adil dengan menyalurkan peruntukan yang sepadan kepada kerajaan negeri.

Namun, agar tidak terlalu retorik, beliau juga mengatakan bahawa rakyat gembira berada dalam Malaysia dan ingin menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik, setanding dengan rakan senegara di negeri-negeri yang lebih maju. - Bernama