Nekad kahwin muda!

Keluarga kedua-dua pasangan pengantin merakam gambar selepas majlis akad nikah di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah di sini semalam.
Keluarga kedua-dua pasangan pengantin merakam gambar selepas majlis akad nikah di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah di sini semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – [DIKEMASKINI] “Saya tahu memang besar cabaran berkahwin pada usia muda tetapi saya beranikan diri kerana mahukan hubungan yang halal dan direstui keluarga,” kata Muhammad Shamsol Hasan Shamsudin, 18.

Anak muda ini selamat dinikahkan bersama pasangannya, Puteri Nurul Syamimie Ramlan, 18, sempena Majlis Walimatul Urus Perdana 2019 di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah, Ladang di sini semalam.

Anak keenam daripada lapan adik-beradik yang bekerja sebagai mekanik itu berkata, dia mengenali isterinya ketika di bangku sekolah dan bercadang untuk menamatkan zaman bujang selepas setahun dua bulan berkenalan.

Katanya, hasrat mendirikan rumah tangga menjadi nyata selepas menyertai program perkahwinan perdana yang dianjurkan kerajaan negeri.

“Sebelum ini memang saya ada nyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga kepada kedua-dua ibu bapa saya. Namun, mungkin saya perlukan sedikit waktu lagi untuk kumpul duit bagi perbelanjaan majlis kahwin dan lain-lain perbelanjaan.

“Saya amat berbesar hati kerana terpilih dan berpeluang untuk menyertai program ini. Ia begitu membantu daripada segi kewangan dan dalam masa yang sama dapat menjimatkan perbelanjaan yang lain,” katanya yang berasal dari Gong Badak.

Muhammad Shamsol Hasan yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Guntong, Tepoh berkata, dia bersyukur kerana perkahwinan itu tidak mendapat halangan malah direstui oleh kedua-dua belah keluarga.

Artikel Berkaitan:

Pasangan muda Muhammad Shamsol Hasan dan Puteri Nurul Syamimie ketika majlis perasmian dan resepsi Walimatul Urus Perdana 2019 di Stadium Negeri di sini semalam.
Pasangan muda Muhammad Shamsol Hasan dan Puteri Nurul Syamimie ketika majlis perasmian dan resepsi Walimatul Urus Perdana 2019 di Stadium Negeri di sini semalam.

“Ibu bapa kami merestui pernikahan ini dan saya juga telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami,” katanya.

Sementara itu, Puteri Nurul Syamimie yang merupakan bekas pelajar SMK Tok Adis berharap hubungan yang terjalin itu mendapat keberkatan dengan restu kedua orang tua.

Anak sulung daripada lima adik-beradik itu berkata, dia bersyukur kerana telah melepasi peringkat pertama dalam alam rumah tangga dan bermohon supaya rumahtangga yang dibina terus mendapat berkat.

“Saya memang agak berat hati dalam membuat keputusan berkahwin awal. Tak ada siapa yang bersedia 100 peratus untuk galas tanggungjawab sebagai ibu bapa.

“Tetapi, disebabkan mahukan hubungan yang halal dan direstui, saya ambil keputusan untuk berkahwin dan membina kehidupan bersama suami saya,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadika.

Pasangan termuda itu bersama-sama 26 lagi pasangan lain diraikan dalam majlis resepsi Walimatul Urus Perdana 2019 Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dan ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama isteri.

Majlis perkahwinan perdana peringkat negeri semalam menyaksikan keseluruhan seramai 1,167 pasangan yang diraikan dengan perbelanjaan sebanyak RM3,500 bagi setiap pasangan.