FitMalaysia fasa kedua dilancar penghujung tahun ini

No Image Caption
A
A
A

SETIA ALAM - Kementerian Belia dan Sukan dijangka akan melancarkan program FitMalaysia bagi fasa kedua penghujung tahun ini.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, konsep yang bakal digunakan bagi tujuan program tersebut adalah setiap rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat di mana sahaja dengan insentif diberikan berdasarkan kepada jumlah markah yang diterima.

Menurutnya, kementerian itu akan membangunkan sistem berasaskan kepada penggunaan teknologi canggih seperti peralatan kesihatan bagi merekod aktiviti sukan yang dilakukan akan menjadi medium kepada penilaian dan markah yang diperoleh.

"Kalau tidak sempat penghujung tahun ini, mungkin awal tahun hadapan. Fasa kedua ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menjalani gaya hidup sihat dengan pemberian insentif berdasarkan kepada markah diterima dalam bentuk barangan tajaan atau diskaun daripada pihak terlibat.

"Konsepnya adalah lebih baik mencegah daripada merawat. Kita mahu beri wang kepada rakyat untuk pergi bersukan dan amalkan gaya hidup sihat berbanding membayar bil kesihatan kerana penyakit yang berpunca daripada tidak mengamalkan gaya hidup sihat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Malaysian Students Technology Conference hari ini.

Katanya, untuk jangka masa panjang insentif tersebut mungkin boleh ditambah baik dengan pemberian pelbagai rebat sebagai contoh bagi bayaran bil elektrik.

"Semua perkara berkaitan fasa kedua ini masih diperingkat Kementerian Belia dan Sukan. Kita belum mengadakan perbincangan dengan kementerian-kementerian lain yang berkaitan," katanya.

Menurutnya, FitMalaysia mula diperkenalkan kembali pada Mac tahun ini selepas ia dilaksanakan sebelum ini oleh kerajaan terdahulu dengan pelbagai penambahbaikan.

Artikel Berkaitan:

"Ia diteruskan sebab kita lihat program ini memberi manfaat. Bagi fasa pertama kita laksanakan seperti yang dibuat oleh pentadbiran lama iaitu road show di beberapa buat negeri mengikut zon.

"Kemudian fasa kedua yang kita lihat adalah selepas karnival sukan besar-besaran orang ramai bertanya bagaimana mereka mahu terlibat selepas itu. Kalau sukan FitMalaysia tidak dianjurkan di tempat mereka bagaimana mereka nak terlibat atau sertai dan selepas penganjurannya.

"Kita mahu rakyat Malaysia bersukan bukan sahaja dalam penganjuran sukan oleh kementerian sebaliknya setiap masa dan di mana sahaja. Sebab itu kita perkenalkan insentif bagi fasa kedua supaya rakyat negara ini mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.