Lesen kontraktor G1: Ada kesan jika lesen dibuka semula

Muhamad Razif
Muhamad Razif
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkofb) Cawangan Pulau Pinang membantah keputusan kerajaan membuka semula lesen kontraktor G1 bermula 1 September depan.

Yang Dipertuanya, Muhamad Razif Zakaria berkata, pelbagai implikasi yang akan dihadapi kontraktor sedia ada sekiranya lesen berkenaan dibuka semula malah perlaksanaan itu mungkin boleh mengakibatkan kebanyakan daripada mereka gulung tikar disebabkan terpaksa berebut dan sukar untuk mendapat kontrak kerja.

Menurutnya, dengan lambakan kira-kira 1,200 jumlah kontraktor G1 di seluruh negeri ini ada kalanya satu tender projek yang ditawarkan akan direbut sehingga 80 hingga 100 kontraktor.

"Begitu juga sekiranya cabutan undi dibuat, empat undi yang diperlukan tetapi jumlah kehadiran kontraktor sehingga 150 lebih orang dan kebarangkalian untuk mendapat kerja sangat tipis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu bersetuju pendaftaran Kontraktor G1 (Bumiputera) dibuka semula pada 1 September ini.

Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan bersama berkata, ia akan memberi peluang kepada kontraktor baharu Bumiputera terutama generasi muda berkelayakan teknikal terbabit lebih aktif dalam industri pembinaan khususnya mengendalikan projek kerajaan.

Kerajaan berharap usaha ini dapat melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera berdaya saing dan berdaya tahan serta memainkan peranan utama dalam industri pembinaan negara.

Katanya, kerajaan menyedari keperluan mengkaji semula pendaftaran Kontraktor G1 selepas 14 tahun pendaftarannya dibekukan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Muhamad Razif berkata, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta agensi pelaksana seharusnya turun padang dan mendengar pandangan PERKOBF terlebih dahulu sebelum keputusan diambil untuk membuka semula lesen G1.

Katanya, perbincangan bersama persatuan dan pihak berkaitan perlu dilakukan agar penambahbaikan dibuat terlebih dahulu bagi memastikan agenda Bumiputera terbela selaras dengan Fasal 183

Perlembagaan Malaysia untuk membela dan menjaga Hak dan kepentingan Bumiputera itu sendiri.

"Kami berharap keputusan ini dapat ditangguhkan dan dikaji semula dengan lebih teliti meliputi pelbagai aspek demi kebaikan dan kelangsungan hidup kontraktor G1 di negeri ini," katanya.