Elak cemari bulan kemerdekaan dengan isu sensitif

Mohd Firdaus (tiga dari kiri) ketika merasmikan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang hari ini.
Mohd Firdaus (tiga dari kiri) ketika merasmikan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membangkitkan isu sensitiviti kaum dan agama sepanjang bulan kemerdekaan ini.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, NGO Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ini kerana beberapa isu yang menyentuh perkauman dan keharmonian kaum dibangkitkan pihak tertentu kebelakangan ini, sehingga mencetuskan perbalahan pendapat.

Menurutnya, sebaiknya semua pihak disaran menjiwai erti kemerdekaan negara dan menjiwai semangat kemerdekaan dengan memerdekakan hati masing-masing.

"Tidak perlu mana-mana pihak ambil kesempatan cetuskan isu perkauman. Sekarang bukan masanya untuk bangkitkan sensitiviti mana-mana kaum.

"Kita wajar hargai keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini, ini yang harus kita pupuk dan tunjukkan contoh kepada generasi muda,” katanya.

Mohd Firdaus (tengah) bersama Mohd Roffee (dua dari kanan) mengibarkan Jalur Gemilang sejurus pelancaran program.
Mohd Firdaus (tengah) bersama Mohd Roffee (dua dari kanan) mengibarkan Jalur Gemilang sejurus pelancaran program.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) peringkat negeri Kedah di Taman Jubli, Menara Alor Setar hari ini.

Mohd Firdaus berkata, semua kaum di negara ini harus menjaga sensitiviti antara kaum selain memilih untuk berdiam diri berbanding berbalas kenyataan.

Artikel Berkaitan:

"Suburkan mesej cintakan keamanan dan sayangi negara, ia harus disemat dalam diri masing-masing.

Semua lapisan umur harus semarakkan sambutan kemerdekaan dengan kibarkan Jalur Gemilang.

Menurutnya, setiap individu harus memastikan hati dan jiwa bersih daripada sebarang anasir negatif, memandangkan dunia kini berdepan dengan evolusi 4.0 apabila maklumat diterima tanpa sempadan.

"Tema kemerdekaan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih’ amat bertepatan.

"Rakyat harus miliki hati nurani yang bersih dan tanamkan semangat patriotik dalam menghargai jerit perih insan terdahulu yang perjuangkan hari kemerdekaan,” katanya.

Mohd Firdaus (tengah) bergambar bersama sebahagian peserta konvoi dan hadirin yang memeriahkan program.
Mohd Firdaus (tengah) bergambar bersama sebahagian peserta konvoi dan hadirin yang memeriahkan program.

Sementara ketua konvoi KMJG, Mohd Roffee Mohamad berkata, masyarakat kini harus bebas daripada dibelenggu pemikiran lama, termasuk penjajahan minda alaf baru.

"Kita tidak akan merdeka selagi masih dijajah minda, penjajahan baharu menerusi dunia tanpa sempadan harus dikawal.

"Pelihara minda daripada terus dijajah, bersihkan hati, budaya dan kerajaan, ini antara yang kami promosikan kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, KMJG memasuki edisi ke-17 penganjurannya tahun ini membabitkan 62 kenderaan terdiri daripada 17 pacuan pelbagai agensi kerajaan dan 45 motosikal berkuasa tinggi serta 133 peserta.

"Konvoi akan menjelajah seluruh negara dengan laluan sejauh 6,200 kilometer merangkumi 62 perhentian di peringkat negeri, daerah dan komuniti termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Hentian terakhir pada 31 Ogos dan konvoi akan sertai perbarisan kemerdekaan sebagai penutup,” katanya.