[DIKEMASKINI] Syahmi Sazli terima anugerah YouTube Gold Play Button

Syahmi bersama trofi yang dimenanginya.
A
A

KOTA BHARU -"Saya tidak sangka akan memenangi trofi tersebut, memang inilah impian saya sejak tiga tahun lepas," kata Muhammad Syahmi Sazli, 24, atau lebih dikenali Syahmi Sazli yang teruja menerima trofi YouTube Gold Play Button kelmarin.

Trofi tersebut dimenangi beliau selepas berjaya memiliki jumlah ‘subscribers’ seramai 1 juta dan telah dipos oleh pihak ibu pejabat Google dari United Kingdom.

Muhammad Syahmi ketika dihubungi memberitahu, beliau dan sepupunya, Muhammad Asyiff Suhaimi, 17, atau Asif dan rakan mereka, Muhammad Ashrul Hakim Lukman, 21, atau dikenali Yoe Parey sangat bersyukur dengan penganugerahan trofi tersebut dan berharap ia menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih besar selepas ini.

"Pada mulanya tak percaya saya berjaya memenangi trofi tersebut. Namun rasa bersyukur sangat sebab trofi ini memang menjadi idaman setiap 'youtuber' atau 'video creator'.

"Alhamdulillah, ia hasil titik peluh selama tiga tahun, apa yang dilakukan adalah untuk semua penyokong kami," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai perancangannya, Muhammad Syahmi berkata, dia akan kekal serta konsisten dengan perancangan sedia ada, selain berusaha mencipta idea baharu dan segar untuk disajikan kepada pelayar Youtube.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong kami dan semoga dengan kejayaan ini ia lebih membuka ruang kepada kami untuk berkarya selepas ini," katanya.

Sinar Harian awal Ogos lalu melaporkan mengenai drama spontan terbaru tiga remaja tersebut yang sekali gus membawa naik nama mereka setanding artis popular di Malaysia.

Tambahan pula, gaya penceritaan dan kisah yang diketengahkan membawa mesej yang mendalam namun diselitkan dengan unsur komedi yang bersahaja.

Menggunakan dialog spontan dengan dialek Kelantan turut memberi kelainan kepada anak muda ini untuk mengekspresikan bakat seni lakonan. Biarpun bekerja dengan dua rakan ‘istimewa' namun Syahmi menganggap ia sebagai salah satu tugas yang menyeronokkan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia