Misteri kehilangan warga emas terjawab

Lokasi penemuan mayat mangsa di sebuah parit besar berhampiran Taman Sri Wangsa hari ini.
Lokasi penemuan mayat mangsa di sebuah parit besar berhampiran Taman Sri Wangsa hari ini.
A
A
A

BATU PAHAT - Misteri kehilangan seorang wanita warga emas di daerah ini terjawab selepas dia ditemui lemas di sebuah parit besar berhampiran Taman Sri Wangsa di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, mayat wanita berumur 66 tahun itu ditemui oleh orang awam di kawasan tersebut kira-kira jam 10.30 pagi sebelum melaporkan kepada pihak polis.

"Bertindak daripada maklumat ini, kami telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati mayat yang ditemui terapung di dalam parit tersebut ialah mayat seorang perempuan yang dilaporkan keluar rumah dan tidak balik sehari sebelum ditemui mati.

"Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa dan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang bukti dan saksi berkaitan kejadian jenayah yang berlaku ke atas mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, keluarga mangsa juga telah melakukan pengecaman dan mengesahkan mayat mangsa ialah ahli keluarganya yang hilang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Patologi Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan bedah siasat akan dilakukan bagi mengesahkan punca kematian.

Artikel Berkaitan: