GenPatriot cabar Yew Yin jalani latihan ketenteraan

Muhammad Syafiq (tengah) hadir ke IPD Ampang Jaya bagi membuat laporan polis susulan kenyataan Yew Yin yang disifatkan menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Muhammad Syafiq (tengah) hadir ke IPD Ampang Jaya bagi membuat laporan polis susulan kenyataan Yew Yin yang disifatkan menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
A
A
A

AMPANG - Kelab Generasi Patriot Malaysia (GenPatriot) mencabar ahli perniagaan, Koo Yew Yin menjalani latihan ketenteraan selama satu bulan susulan kenyataannya yang disifatkan menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden GenPatriot, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos berkata, pihaknya tidak mahu kenyataan yang dikeluarkan itu menghina dan mengguris hati anggota keselamatan.

Tegasnya, Yew Yin sepatutnya menyelidik dengan teliti berkenaan rutin seorang anggota ATM sebelum memberikan kenyataan.

"Saya sebagai Presiden GenPatriot mahu lontarkan satu cabaran kepada beliau (Yew Yin) iaitu menjalani latihan sebagai anggota tentera selama sebulan. Ini kerana kenyataan yang dikeluarkan itu sangat tidak relevan jika kita tak kaji dan jalani latihan secara praktikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Yew Yin tarik balik kenyataan, mohon maaf kepada tentera

"Jika Yew Yin sanggup sahut cabaran saya ini, insyaALLAH saya akan aturkan perkara ini dengan Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu). Ini cabaran saya, kita tak mahu komen sebegitu dikeluarkan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, GenPatriot hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada jam 2.30 petang bagi membuat laporan polis susulan kenyataan yang dibuat Yew Yin.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafiq berkata, ahli perniagaan adalah orang yang bijak dan sepatutnya Yew Yin meneliti terlebih dahulu berkenaan tugas anggota tentera terutamanya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan polis akan merekod percakapan Yew Yin pada Isnin di Ipoh, Perak dan akan disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.

Yew Yin sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menghina anggota tentera di negara ini dengan dakwaan hanya makan dan tidur, tidak pernah menembak malah beliau turut mencadangkan supaya anggota tentera bekerja sebagai buruh di ladang.

Selepas mendapat kecaman ramai, Yew Yin akhirnya menarik balik kenyataannya terhadap ATM yang menimbulkan rasa kurang senang kebanyakan pihak.

Dalam satu kenyataan di laman blognya Rabu lalu, Yew Yin berkata, beliau juga meminta maaf kepada anggota tentera yang sudah bersara dan sedang berkhidmat.