Golongan OKU dalam sektor awam masih rendah

Nicole (tiga dari kanan) menyampaikan kad OKU kepada A. Kesavan, 36, yang merupakan OKU kategori fizikal.
A
A

SEREMBAN - Jumlah pekerja orang kurang upaya (OKU) yang diambil bekerja dalam sektor awam di negeri ini masih rendah berbanding dasar pengambilan satu peratus ditetapkan.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ini, hanya 99 OKU bertugas sebagai penjawat awam iaitu 73 adalah lantikan Persekutuan dan 26 lantikan negeri.

"Realitinya pengambilan pekerja OKU di sektor awam di negara ini masih rendah iaitu sekitar 0.31 peratus sedangkan peratus yang kerajaan Persekutuan tetapkan iaitu satu peratus.

"Oleh itu saya menyeru supaya semua agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memastikan dasar itu dipatuhi sekali gus kita memberi hak yang sama kepada golongan ini sama seperti orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Karnival Pekerjaan OKU Negeri Sembilan 2019 di Seremban Prima di sini.

Menurutnya, beliau difahamkan masih banyak jabatan kerajaan yang belum bersedia untuk menerima pekerja OKU atas alasan ketidakupayaan mereka.

Nicole (tiga dari kanan) beramah mesra dengan golongan OKU yang tidak melepaskan peluang mencari pekerjaan.
Nicole (tiga dari kanan) beramah mesra dengan golongan OKU yang tidak melepaskan peluang mencari pekerjaan.

Oleh sebab itu beliau menyarankan kepada kementerian berkaitan supaya kenal pasti jabatan bersesuaian yang dapat menempatkan pekerja OKU.

Pada masa sama beliau turut menyarankan sektor swasta turut mengambil sekurang-kurangnya satu peratus pekerja OKU sama seperti sektor awam.

"Keterbukaan syarikat swasta untuk memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada golongan ini boleh dianggap sebagai satu tanggungjawab korporat sosial(CSR)," katanya.

Selain itu katanya, seramai 23,846 OKU yang berdaftar di negeri ini dan untuk tahun ini sehingga Julai, JKM telah meluluskan sebanyak 1,382 pendaftaran baharu.

Sementara itu pada program berkenaan sebanyak 800 peluang pekerjaan ditawarkan kepada OKU melibatkan 17 syarikat swasta.

Hadir sama, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong; Pengarah JKM Negeri Sembilan, Mohamad Hapil dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan, S Tharumarajan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia