Tiga deretan kedai musnah terbakar

Keadaan tiga deretan kedai yang musnah dalam kebakaran di Kuala Kangsar awal pagi tadi.
A
A

KUALA KANGSAR - Tiga deretan kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Kampung Baru Sauk di sini awal pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 2.40 pagi itu melibatkan kedai runcit, bengkel motosikal dan kedai komputer.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, anggota yang tiba di lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 2.44 pagi mendapati api sudah marak.

"Struktur binaan premis yang separuh kayu dan batu menyebabkan api marak dengan cepat.

"Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa kerana premis ditinggalkan kosong," katanya.

Beliau berkata, ketika operasi pemadaman dijalankan, berlaku percikan api berpunca dari litar pintas akibat sistem pendawaian lama.

Katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut dipanggil untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum pemadaman secara keseluruhan dapat dilakukan.

"Hasil kecekapan anggota, kita berjaya menyekat api dari merebak ke deretan kedai lain.

"Buat masa ini, kita masih dalam proses siasatan untuk menentukan jumlah kerugian sebenar termasuk motosikal yang musnah," katanya.

Operasi pemadaman turut mendapat bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong dan Sungai Siput.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia