New York gempar gara-gara periuk nasi

Penemuan tiga periuk nasi kosong gemparkan penduduk New York semalam.
Penemuan tiga periuk nasi kosong gemparkan penduduk New York semalam.
A
A
A

NEW YORK - New York berdepan detik cemas selama hampir dua jam ketika waktu puncak pagi semalam gara-gara tiga objek mencurigakan yang kemudian dikenal pasti sebagai periuk nasi kosong.

Menurut polis, laporan pertama diterima di Manhattan pada kira-kira jam 7.00 pagi (waktu tempatan) apabila seorang penumpang terlihat sebuah periuk nasi ditinggalkan di stesen kereta api bawah tanah Fulton Street berhampiran bangunan World Trade Center (WTC).

Periuk nasi kedua ditemukan di bahagian lain stesen yang sama.

Stesen terbabit kemudian segera dikosongkan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Sejurus polis mengumumkan objek tersebut tidak mendatangkan bahaya, objek ketiga dikesan di 16th Street, Chelsea.

Timbalan Pesuruhjaya Risikan dan Keganasan Jabatan Polis New York, John Miller berkata, objek ketiga itu turut dikenal pasti sebagai periuk nasi.

Menurut Miller, rakaman kamera keselamatan menunjukkan dua periuk nasi yang ditemukan di stesen Fulton Street diletakkan oleh seorang lelaki yang mengeluarkannya dari troli beli-belah.

Pihak berkuasa kini sedang menjejak lelaki terbabit.

Artikel Berkaitan:

Miller menambah, tidak diketahui sama ada periuk nasi ketiga mempunyai kaitan dengan kedua-dua periuk nasi yang ditemukan di stesen Fulton Street, namun kesemua periuk nasi adalah dari model yang sama.

Pada September 2016 di Chelsea, seorang lelaki kelahiran Afghanistan, Ahmad Rahimi meletupkan sebuah periuk tekanan yang mengandungi bahan letupan buatan sendiri dan mencederakan 31 orang. - AFP