Pencarian warga Singapura masuk hari ke-9

Zulkarnain Mohd Omar
Zulkarnain Mohd Omar
A
A
A

KUANTAN - Pencarian seorang lagi warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti berkayak di perairan Endau-Mersing, Khamis minggu lalu, kini masuk hari ke sembilan.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, radius pencarian diperluas sehingga perairan Dungun Terengganu dengan jangkaan pergerakan arus sehingga 10 kilometer sejam.

"Hari ini sudah masuk hari ke sembilan. Kemungkinan untuk menjumpai mangsa dalam keadaan sempurna amat tipis jika mangsa sudah meninggal dunia. Jika mangsa pakai jaket keselamatan, mungkin juga keadaannya sudah mereput. Jadi ada kemungkinan kalau jumpa pun sudah dalam keadaan yang sudah tidak boleh dikenali.

"Menerusi pemantauan dan kelajuan arus, kita menjangkakan mangsa akan dibawa ke arah utara, jadi kita fokuskan ke utara. Ia juga berdasarkan penemuan mangsa wanita. Namun, sehingga sekarang tiada petunjuk dan tiada laporan mengenai sebarang penemuan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Zulkarnain berkata, seramai 50 anggota APMM termasuk pegawai terlibat dalam operasi pencarian dengan penggunaan aset melibatkan APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan polis Marin.

"Kita juga meminta bantuan komuniti nelayan sekiranya mereka ternampak mangsa. Sekarang kita dah cari sampai ke Pulau Tenggol. Sektor pencarian dikendalikan APMM Johor dan apabila mangsa pertama dijumpai di perairan Kemaman, Pusat Hadapan pindah ke Kemaman menggabungkan kekuatan anggota APMM Pahang dan Terengganu," katanya.

Pada 14 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan mangsa wanita, Puah Geok Tin, 57, ditemui di perairan dekat Kemaman oleh nelayan kira kira 18 batu nautika dari kayak milik dua warga Singapura ditemui, manakala 100 batu nautika dari lokasi terakhir beliau dan mangsa lelaki, Tan Eng Soon, 62.

Artikel Berkaitan: