Hanya Matthew Searle jurucakap rasmi keluarga Nora Anne

Foto: BERNAMA
Foto: BERNAMA
A
A
A

SEREMBAN - Keluarga Nora Anne Quoirin hari ini menegaskan bahawa mereka hanya melantik Matthew Searle daripada Lucie Blackman Trust sebagai jurucakap keluarga, justeru menyatakan kebimbangan terhadap pihak tertentu yang mendakwa bertindak bagi pihak keluarga itu.

Keluarga itu berkata komen dan kenyataan yang berkaitan dengan kehilangan, kematian, siasatan dan perkara lain daripada mereka hanya dikeluarkan menerusi Lucie Blackman Trust.

Mesej itu disampaikan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Lucie Blackman Trust, sebuah badan amal Britain yang membantu rakyatnya semasa menghadapi krisis di luar negara.

Keluarga berkenaan menerusi kenyataan itu turut menggesa pihak media supaya hanya bergantung kepada kenyataan dan komentar daripada Lucie Blackman Trust mulai sekarang.

“Keluarga Nora prihatin bahawa dengan terus melaporkan komen-komen seperti apa yang dilaporkan baru-baru ini tidak membantu dan boleh menghalang sebarang siasatan, dan juga menyebabkan kekeliruan dan kesusahan bagi mereka.

“Lucie Blackman Trust sedang mengatur penghantaran semula mayat Nora dan tiada maklumat lanjut berhubung perkara ini, termasuk tarikh atau destinasi, akan dikeluarkan pada masa ini,” kata badan amal itu.

Nora Anne bersama-sama ibu bapanya Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapannya pada 3 Ogos, sehari sebelum kehilangannya.

Laporan bedah siasat Khamis lepas mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Artikel Berkaitan:

Keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar di sini pada 12.42 tengah malam tadi selepas proses dokumentasi selesai.- Bernama