Tiada bedah siasat kedua mayat Nora Anne

(Gambar kecil, Mohamad)
A
A

SEREMBAN - Polis mengesahkan tiada bedah siasat kali kedua akan dilakukan setakat ini terhadap mayat Nora Anne Quorin, 15, yang ditemukan mati selepas 10 hari hilang di resort The Dusun Hill.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya turut tidak dimaklumkan hasrat keluarga remaja kurang upaya lembam itu yang mahu membuat bedah siasat kedua.

"Kami tiada maklumat atau dimaklumkan tentang perkara itu," katanya dalam pesanan ringkas kepada Sinar Harian di sini hari ini sebagai mengulas dakwaan keluarga dari Ireland itu mempertimbangkan bedah siasat semula.

Terdahulu, menurut laporan Daily Mirror, Maebh Jaseprine Quoirin, 45 dan Sebastian Marie Philipe, 47, sedang membincangkan perkara itu bagi memastikan ahli patologi tidak terlepas sebarang bukti boleh dikaitkan dengan kematian anak mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Nora Anne mungkin minta bedah siasat kedua

Mayat Nora Anne ditemukan kira-kira jam 1.57 petang Selasa lalu oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi SAR kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 hari kehilangan Nora Anne akhirnya terungkai