Pekerja ladang maut langgar pokok kelapa sawit

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. (Gambar kecil, keadaan kereta dipandu mangsa remuk selepas melanggar pokok kelapa sawit.)
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. (Gambar kecil, keadaan kereta dipandu mangsa remuk selepas melanggar pokok kelapa sawit.)
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja ladang maut selepas kereta yang dipandunya melanggar pokok kelapa sawit di jalan utama Felda Bukit Kuantan, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, Faizul Abd Rahman, 39 yang tinggal Felda Bukit Kuantan di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Kamarulzaman Jusoh berkata, polis menerima maklumat berlaku kemalangan yang disyaki terbabas sendiri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kenderaan jenis Honda Accord itu dipercayai dari arah Felda Bukit Goh menghala ke Jalan Felda Bukit Kuantan.

"Setibanya di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok kelapa sawit di tepi jalan.

"Akibat pelanggaran itu, pemandu yang cedera parah di bahagian kepala dan muka dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, seramai lima anggota daripada pasukan Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota telah membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta akibat kemalangan itu.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada polis," katanya