Pas tidak halang ahli sertai himpunan bantahan Lynas

 Andansura
Andansura
A
A
A

KUANTAN - Pas tidak menghalang sekiranya ada ahlinya ingin menyertai perhimpunan bantahan 'Reject Lynas's Radioactive Waste' yang akan diadakan di Taman Gelora di sini esok.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, pihaknya tidak ada halangan atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghalang mana-mana ahli menyertai perhimpunan bantahan itu.

Menurutnya, semua pihak berhak untuk berhimpun selagi tidak melanggar undang-undang.

"Terserah kepada mereka, namun bagi saya perhimpunan itu tidak mempunyai objektif jelas selepas kerajaan sudah pun membuat keputusan berhubung operasi kilang Lynas di Gebeng.

"Isu Lynas ini pada saya sudah jelas dan selesai, jadi rasanya perhimpunan seperti ini sudah tidak perlu, namun terpulanglah kepada mereka. Itu hak mereka untuk berhimpun," katanya.

Sebelum ini Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet berkata, bantahan terbuka secara besar-besaran itu adalah anjuran pihaknya dengan sokongan lebih 250 badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia.

Himpunan bantahan itu sebagai memperingati orang ramai tentang bahaya sisa buangan radioaktif dihasilkan Lynas selain menyampaikan info terkini perkembangan isu itu dan mengingatkan kerajaan supaya tidak berterusan memutar belit kenyataan serta keadaan.

SMSL sebenarnya tidak membantah operasi atau pengaliran keluar masuk modal, peluang pekerjaan atau manfaat lain tetapi menentang cara kilang hasilkan sisa yang memudaratkan kesihatan dan sekitar.

Artikel Berkaitan: