Struktur besi tumbang: Prolintas sedia beri kerjasama bantu siasatan

Prolintas memaklumkan sedia beri kerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan berhubung insiden struktur besi tumbang di tapak pembinaan Lebuhraya Suke petang semalam.
Prolintas memaklumkan sedia beri kerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan berhubung insiden struktur besi tumbang di tapak pembinaan Lebuhraya Suke petang semalam.
A
A
A

CHERAS - Konsesi lebuh raya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung insiden struktur besi tumbang di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) petang semalam.

Prolintas menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian besi tumbang ketika kerja pemasangan dilakukan di tapak pembinaan Suke sekitar jam 3.30 petang di Persiaran Alam Damai di sini.

“Punca kejadian sedang disiasat, Prolintas akan beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam melakukan siasatan.

“Kami ucap terima kasih kepada pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang telah membantu menyelamatkan mangsa di tempat kejadian,” katanya.

Terdahulu, Prolintas mengesahkan tiga pekerja pembinaan cedera dalam kejadian itu dan mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk menerima rawatan.

Menurutnya, tiada orang awam yang terlibat atau cedera di dalam kejadian tersebut.

Prolintas dalam pada itu menasihati orang ramai sentiasa mematuhi peraturan di sekitar tapak pembinaan.

“Prolintas memberi jaminan akan memastikan aspek keselamatan sentiasa dipatuhi di semua kawasan pembinaan," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Semalam, tiga pekerja binaan warga China cedera apabila struktur besi cerucuk di tapak pembinaan Lebuhraya Suke dilapor tumbang.

Dalam kejadian jam 3.38 petang itu, seorang pekerja yang tersepit mengalami patah tangan kiri manakala dua lagi cedera ringan.