Kerjasama agensi kerajaan perlu diperkukuhkan

Mohd Rashid (lima, kiri) sewaktu sidang media Larian Saya Sayangi Batu Pahat 2019 di pejabatnya.
Mohd Rashid (lima, kiri) sewaktu sidang media Larian Saya Sayangi Batu Pahat 2019 di pejabatnya.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerjasama di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan terutamanya yang membabitkan agensi yang mempunyai portfolio sama perlu diperkukuhkan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, beliau yakin dengan adanya kerjasama berkenaan akan memudahkan rakyat sekaligus agensi-agensi kerajaan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik.

"Kerjasama yang berterusan ini juga akan membolehkan kita dapat merangka, merancang dan melaksanakan program untuk meningkatkan tahap sosioekonomi dan kemakmuran sesebuah negeri.

“Bukannya saya kata tiada kerjasama sebelum ini, cuma diharap perkara ini dapat ditambah baik serta diperkukuhkan dan bukannya hanya pada musim tertentu sahaja agar perkhidmatan agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri ini sampai kepada golongan sasar," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata kepada pemberita pada sidang media Larian Saya Sayangi Batu Pahat 2019 di Pusat Khidmat Parlimen Batu Pahat, di Taman Bukit Hitam di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha mengukuhkan kerjasama berkenaan perlulah dilaksanakan segera agar tiada pertindihan tugas dan sebagainya, sekali gus setiap perkara atau maklumat berkaitan kerajaan sampai tepat kepada masyarakat.

Pada masa sama, berkenaan dengan program larian yang bakal diadakan pada 15 Disember 2019, pihaknya mengharapkan sambutan luar biasa daripada orang ramai dengan menyasarkan 5,000 penyertaan.

Katanya, pada program yang julung-julung kali diadakan ini adalah kesinambungan program berbentuk kesihatan yang dilaksanakan secara tahunan ketika beliau menjadi wakil rakyat di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

“Kini saya bawa program berkenaan ke Johor pula, dan ianya membabitkan larian sejauh tujuh kilometer yang akan melalui beberapa kawasan menarik di sekitar bandar Batu Pahat.

“Bagi orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut dengan larian berkenaan, mereka boleh hadir ke Pusat Khidmat Parlimen Batu Pahat, atau ke pejabat Persatuan Kepolisan Komuniti Batu Pahat (CPBP) serta menerusi laman sesawang di www.ticket2u.com.my," katanya.