PKR Perak ingatkan rakan parti komponen

Tinagaran
Tinagaran
A
A
A

IPOH - PKR Perak mengingatkan rakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan sesama mereka.

Timbalan Pengerusinya, MA Tinagaran berkata, sebarang kemusykilan atau persoalan berkaitan sesuatu isu melibatkan parti perlu dirujuk terus kepada pimpinan dan bukan melalui sidang media.

Menurutnya, perkara itu akan memberikan gambaran tidak baik kepada rakyat dan penyokong PH kerana menunjukkan seolah-olah berlaku ketidaksefahaman dalam pakatan itu.

"Bukan semua perkara kita perlu jelaskan di dalam sidang media kerana kadangkala sesuatu penjelasan itu tidak tepat tanpa merujuk kepada pimpinan seperti lantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sepatutnya isu lantikan ahli majlis itu perlu dirujuk terus kepada pimpinan PKR Perak untuk mendapatkan kepastian dan bukan maklum terus kepada media," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong sebelum ini bahawa PKR Perak masih belum menyerahkan senarai nama lengkap ahli majlis PBT untuk dilantik.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR masih belum beri senarai nama ahli majlis: Exco

Menjawab kepada kenyataan Paul itu, Tinagaran memaklumkan pihaknya sudah menghantar senarai nama ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sejak 12 Julai lalu kepada pejabat Exco terbabit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada 8 Ogos satu lagi surat dihantar sebagai peringatan terhadap senarai nama yang diberikan dan pejabat Exco berkenaan sudah pun menghantar surat maklum balas mengenai penerimaan senarai itu.

Tinagaran berkata, Paul sepatutnya merujuk terus kepada pimpinan PKR jika terdapat sebarang kemusykilan mengenai senarai calon ahli majlis yang dihantar itu.

"Kita sebenarnya berada di belakang dia memberikan sokongan moral ketika kontroversi siasatan kes rogol pembantu rumah yang dihadapi sebelum ini. Seharusnya dia bantu kita permudahkan lantikan ahli majlis ini.

"Kita tak mahu ada sebarang campur tangan terhadap keputusan dibuat pimpinan dan seharusnya kerajaan negeri akur dengan sebarang keputusan yang telah dimuktamadkan," katanya.

Tinagaran berkata, kuota tersebut tidak harus diberikan kepada mana-mana parti politik memandangkan mereka sudah disediakan tempat yang cukup banyak.

"Seperti mana keputusan menteri besar yang mahukan kuota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam lantikan ahli majlis PBT dikekalkan diisi dengan individu yang benar-benar dalam kalangan NGO, kita sokongan sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu harus diberikan kuasa penuh tanpa dipengaruhi sesiapa dalam membuat keputusan berhubung perkara ini.