Amal gaya hidup sihat menerusi sukan

Saidatul Akma (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Gerard pada sidang media berkenaan.
A
A

IPOH - Warga bandaraya Ipoh perlu terus menyedari perihal kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti bersukan.

Pengarah Kanan Pentadbiran dan Kewangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Saidatul Akma Jamaluddin berkata, pihaknya mahu agar warga bandaraya untuk sentiasa menikmati aktiviti bersukan.

Sekali gus menurutnya, ia diharap dapat mengubah persepsi bahawa aktiviti bersukan bukan aktiviti yang membosankan.

“Kita nak ajak warga kota untuk amalkan gaya hidup yang sihat. Kita nak mereka enjoy (nikmati) aktiviti bersukan.

“Kita juga nak tunjukkan kepentingan bersukan ini, sebab itu kita pilih Super Lawak FC kerana kita nak tunjukkan bersukan itu bukan sesuatu yang bosan tetapi sesuatu yang menyeronokkan,” katanya pada sidang media di Bistro Hotel Impiana hari ini sempena aksi persahabatan antara MBI FC dan Super Lawak FC yang dijadualkan berlangsung di Padang Sultan Abdul Jalil, esok. (17 Ogos)

Hadir sama Pengurus Besar Hotel Impiana, Gerard Sta Maria, Normah Ahmad (Pengarah Jualan dan Pemasaran) dan Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd Syahrizal Azmi.

Pada aksi persahabatan yang berlangsung mulai 5 petang itu, skuad Super Lawak FC bakal menampilkan Rahim dan Jepp Sepathu, Shah (Slam), Atu, Sarip dan Melati (Zero) Roy Azman, Chiwan (Muzikal Lawak) dan Jali (School Of Lawak) manakala MBI FC diwakili oleh pihak pengurusan, pegawai serta kesebelasan MBI FC sendiri.

Dijangkakan seramai 5,000 hingga 10,000 pengunjung bakal menyaksikan aksi persahabatan berkenaan.

Sementara itu, Saidatul Akma berkata, aksi persahabatan berkenaan diharap dapat mempromosikan bandaraya Ipoh sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Ipoh ke-31.

Selain itu katanya, aksi persahabatan itu diharap dapat mengeratkan lagi silaturahim antara kedua belah pihak.

“Kita sebenarnya boleh undang mereka untuk buat persembahan, tetapi kali ini kita nak promosikan sukan sekali gus.

“Selain itu, kita adakan perlawanan ini di Padang Sultan Abdul Jalil kerana memberikan laluan kepada perlawanan Piala Malaysia 2019 antara Perak dan Pulau Pinang di Stadium Perak pada sebelah malam, itu pun kita harap orang ramai dapat hadir dan berikan sokongan,” katanya.