Akhirnya Dong Zong yang menang: Tok Mat

Kenyataan Mohamad dalam laman Facebook beliau.
Kenyataan Mohamad dalam laman Facebook beliau.
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Akhirnya yang menang ialah Dong Zong, pertubuhan yang digelarkan rasis oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, desakan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menyebabkan tersungkurnya semua anggota Jemaah Menteri dalam mempertahankan wibawa sistem Pendidikan Nasional.

Tegas ADUN Rantau itu, tidak pernah terjadi dalam sejarah pendidikan negara, pendidikan dipolitikkan sebegitu rupa.

“Pakatan Harapan (PH) telah tunduk kepada desakan Melayuphobia dan Islamophobia yang dijuarai oleh DAP dan penaungnya, Dong Zong.

“Kepada Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik), anda mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk bukan sahaja memperjuang dan mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu tetapi memperkukuhkannya,” katanya dalam laman Facebook beliau sebentar tadi.

Dalam status sama, beliau turut menganggap Maszlee gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri.

“Saudara (Maszlee) mesti mengambil pertanggungjawaban atasnya.

“Saudara tahu apa yang wajar dilakukan dan demi tanah air ini, saya mendesak saudara berundur dengan hormatnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, keputusan kerajaan meneruskan pelaksanaan tulisan jawi di sekolah venakular tetapi hanya setelah mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah keputusan paling tidak munasabah.

“Ia adalah jalan mati untuk jawi dalam sistem sekolah tersebut. Melihat sikap cauvinis pendukung sekolah vernakular dalam isu ini, tiada PIBG yang akan memberikan persetujuan untuk ia dilaksanakan.

“Di mana rasionalnya kurikulum KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) memerlukan persetujuan PIBG untuk di laksanakan. Apa peranan PIBG dalam memenuhi objektif pembelajaran dan pengajaran?” soal beliau.

Mohamad berkata lagi, keputusan tersebut ‘meyakinkan’ semua pihak bahawa isu tulisan Jawi ini adalah sandiwara PH untuk memesongkan perhatian rakyat terhadap isu hakiki yang menghantui tanah air sekarang ini.

“Bersatu ingin jadi juara kepada orang Melayu sementara DAP pula mahu dilihat sebagai pejuang sebenar kepentingan bangsa Cina.

"Kedua-dua gagal dalam ‘pementasan’ mereka kali ini,” tegasnya.