Tiga cedera, besi cerucuk tumbang di lebuhraya Suke

Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
A
A
A

CHERAS - Tiga pekerja binaan warga China cedera apabila struktur besi cerucuk di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) berhampiran Kolej UCSI, Taman Connaught di sini tumbang petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.38 petang itu, seorang daripada pekerja patah tangan kiri manakala seorang lagi patah kaki kanan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Hang Tuah dan BBP Bandar Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Menurut Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairul Azmi Jaafar, sebaik tiba didapati jeriji besi terbabit tumbang ketika kerja-kerja pembinaan dijalankan.

“Kemalangan mengakibatkan seorang pekerja tersepit dan patah kaki manakala dua lagi cedera ringan,” katanya.

Kejadian dilapor berlaku di tapak pembinaan Lebuhraya Suke berhampiran Kolej UCSI, Taman Connaught di sini tumbang, petang tadi
Kejadian dilapor berlaku di tapak pembinaan Lebuhraya Suke berhampiran Kolej UCSI, Taman Connaught di sini tumbang, petang tadi

Menurutnya, anggota bomba bertindak mengalihkan jeriji besi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian kaki.

Kesemua mangsa dikeluarkan dan dibawa turun dari tapak projek pada jam 4.21 petang sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mokhsein Mohamed berkata, butiran penuh kesemua mangsa belum diperoleh pihaknya.

Menurutnya, laporan awal diterima memaklumkan tiga pekerja kontrak cedera dihempap struktur besi cerucuk yang tumbang.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang ke lokasi membantu menurunkan mangsa di lokasi kejadian,” katanya.